suria

Farid Kamil khatam Al-Quran dalam masa 30 hari di penjara - “Saya buat benda yang tak pernah buat”

Farid bersyukur diberi peluang memperbaiki diri sepanjang menjalani hukuman penjara.

PENGALAMAN menjalani hukuman penjara selama dua bulan setengah merupakan antara momen dan detik paling berharga dalam hidup pelakon Datuk Farid Kamil Zahari.

Menurut Farid, 38, sepanjang tempoh tersebut dia mendekatkan diri dengan Allah dan berpeluang mempertingkatkan ibadah agama.

"Di dalam setiap keburukan pasti ada kebaikan... ia satu pengalaman baharu yang sukar diterjemahkan dan saya terharu apabila mereka di sana menerima saya dengan begitu baik.

ARTIKEL BERKAITAN: Farid Kamil dibenar tangguh hukuman penjara

ARTIKEL BERKAITAN: Peminat gembira hukuman penjara Farid Kamil ditangguhkan

“Mereka tahu dan kenal saya, jadi mereka beri sokongan serta semangat untuk saya terus bangun dan berjaya.

“Di dalam penjara itu, saya buat benda yang saya tak pernah buat contohnya bangun untuk solat tahajud dan saya berjaya khatam Al-Quran dalam masa 30 hari. Kalau dalam keadaan bebas belum tentu saya buat itu semua!” katanya kepada mStar.

Isteri dan anak kuatkan semangat Farid.

Farid berkongsi pengalamannya itu semasa ditemui di majlis pelancaran serta sidang media filem Remp-it 2 dan Sifu International Enduro Championship 2020 yang diadakan di Route 77 Harley Davidson, Kuala Lumpur pada Rabu.

Pada 13 Disember tahun lalu, Farid dibenar menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan terhadapnya kerana penyalahgunaa dadah, sehingga rayuannya selesai.

Mungkin tuhan nak tunjukkan sesuatu tetapi dalam keadaan sedemikian supaya hidup saya jadi lebih baik pada masa akan datang.

DATUK FARID KAMIL

Pelakon

Sebelum itu, pada pertengahan November 2019, Farid diperintahkan menjalani hukuman itu selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuannya terhadap hukuman penjara yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 15 Mei tahun sama dan dia menjalani hukuman itu di Penjara Kajang, Selangor.

Sementara itu, Farid berkata sejarah hitam yang berlaku itu membuka ruang untuk dirinya memperbaiki diri dan menjadi individu yang baik pada masa akan datang.

Meskipun berasa sedih dengan apa yang berlaku, namun dia mengambil pengajaran itu dari sudut positif.

Sifu Enduro diilhamkan oleh Farid Kamil (tengah).

“Saya bersyukur diberi kesempatan bertaubat dan mengalami benda yang orang lain tak dapat.

“Mungkin tuhan nak tunjukkan sesuatu tetapi dalam keadaan sedemikian supaya hidup saya jadi lebih baik pada masa akan datang.

“Saya akui ada masa rasa sedih, terkilan dan rasa diri terbuang jauh sebab hal yang menimpa ini tapi bila fikir balik, ini salah satu ujian untuk saya berada di sini sekarang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Farid turut bersyukur dikurniakan isteri, Datin Diana Danielle yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang dia melalui detik hitam tersebut.

“Alhamdulillah, Diana sangat supportive... sejak awal perkenalan sampailah ditimpa malapetaka itu dia masih bersama saya.

“Dia dan anak-anak menjadi kekuatan untuk saya menghadapi masa-masa mendatang ini, betapa beruntungnya saya memiliki isteri bernama Diana Danielle,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, filem Remp-it 2 sudah selesai menjalani penggambaran dan dijangka akan ditayangkan pada Ogos depan.

Farid Kamil

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan