suria

Ashraf Sinclair meninggal dunia akibat serangan jantung

Ashraf Daniel Mohammed Sinclair meninggalkan seorang isteri dan anak bernama Noah Sinclair.

PELAKON Ashraf Sinclair meninggal dunia pada awal pagi Selasa akibat serangan jantung.

Berita sedih itu disahkan sendiri oleh ibu allahyarham, Khadijah Abdul Rahman menerusi mesej di aplikasi WhatsApp kepada mStar.

Allahyarham dikatakan meninggal dunia kira-kira pukul 4 pagi.

Ashraf dan isterinya Bunga Citra Lestari.

"Anak saya Ashraf telah pulang ke Rahmatullah. (Kami) Dalam perjalanan ke Jakarta sekarang," katanya yang masih di Kuala Lumpur saat menghantar mesej kepada mStar.

Pada ketika berita ini ditulis, difahamkan jenazah suami kepada aktres Indonesia, Bunga Citra Lestari ini masih berada di sebuah pusat perubatan di Jakarta.

Portal-portal di Indonesia turut melaporkan berita sedih itu dengan memetik kenyataan pengurus Bunga iaitu Doddy.

Ashraf, 41, yang lahir di London dan dibersarkan di Malaysia mencipta nama dengan pembabitan awalnya sebagai model dalam iklan Kasut Gombak pada tahun 1990-an terbitan Petronas bagi mengangkat produk keluaran tempatan iaitu barangan buatan Malaysia. 

Iklan tersebut menjadi bualan ramai pada waktu itu.

Kelihatan van membawa pulang jenazah Ashraf di Pejaten Barat, Jakarta Selatan. Foto: Baharudin Al Farsi / Kompas.

Pada tahun 2005, dia membintangi filem Gol & Gincu.

Dia kemudian memperluaskan kerjayanya di Indonesia sehinggalah bertemu jodoh dengan aktres negara itu, Bunga Citra Lestari sebelum kedua-duanya bernikah pada 8 November 2008 di Masjid Al Bina Senayan, Jakarta.

Mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Noah Aidan Sinclair yang kini berusia 10 tahun.

Dalam perkembangan berkaitan portal berita Kompas melaporkan jenazah Allahyarham sudah dibawa ke kediamannya di Pejaten Barat, Jakarta Selatan dari Metropolitan Medical Centre (MMC) kira-kira pukul 7.33 pagi waktu tempatan.

Turut kelihatan isterinya turun dari kenderaan jenazah dengan mata yang sembab.

Artikel Lain