suria

Man Raja Lawak diminta padam video Khir Rahman mengamuk - “Kau orang jadi saksi, juara pun datang dua jam awal tau... hormat sikit!”

Khir Rahman bengang dua pelakon utama teater arahannya hadir lewat semasa sesi latihan.

TINDAKAN pelawak Man Raja Lawak berkongsi rakaman video memaparkan pengarah Khir Rahman mengamuk semasa di set latihan teater Korupsi Dewan Semandung mengundang salah faham dalam kalangan netizen.

Gara-gara perkongsiannya itu, Man berkata dia menerima kecaman hebat daripada netizen yang memintanya memadam video tersebut.

"Ramai netizen maki saya semalam fasal video ini, jadi saya post balik. Siapa yang salah siapa yang betul sebenarnya?

ARTIKEL BERKAITAN: Setelah menilai tiga nama, akhirnya... Man Raja Lawak dipilih ganti Abam

"Kau orang jadi saksi, juara pun datang dua jam awal tau... hormat sikit!" tulisnya di Instagram pada Khamis.

Menerusi rakaman tersebut, Khir dilihat bengang dengan sikap dua pelakon yang tidak menepati masa dan lewat semasa sesi latihan teater tersebut.

Khir Rahman bengang dengan sikap dua pelakon yang hadir lewat ke set latihan.

Perkara itu menyebabkan sesi latihan mereka terganggu.

Dipercayai dua pelakon yang ditegur oleh Khir Rahman itu adalah pelawak Chiwan dan Tapai.

Sementara itu, rata-rata pengikut di Instagram meminta Man memadam video tersebut kerana ia hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Penerbit Ogy Ahmad Daud (duduk tengah) bersama barisan pelakon teater Korupsi Dewan Semandung.

"Hal kerja tak perlu post, kena marah tu biasa, sebab kita bekerja... kalau tak nak kerja berhenti, itu asam garam kerja, itu baru pengarah!

"Bila kita pegang sesuatu jawatan tu mesti nak yang terbaik... ahli kena bagi kerjasama hadap atau tinggal tapi lebih baik hadap semua bidang perlu disiplin.

"Pada Man Raja Lawak padamlah video ini kasihan dua-dua kawan awak tu diaibkan," tulis netizen.

Selain Man, teater tersebut turut dibintangi oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin, Joey Daud, Vicha, Mark Adam, Tauke Jambu, Chiwan, Tapai dan Sharif Zero.

Teater komedi seram, Korupsi Dewan Semandung itu akan dipentaskan di Istana Budaya pada 28 Februari hingga 1 Mac ini.

Khir Rahman

Artikel Lain