BAKAL bergelar bapa pada Ogos depan, penyanyi Ippo Hafiz dan isterinya Fara Roslan enggan mengetahui jantina bayi pertama mereka ketika dalam kandungan. Ippo atau nama sebenarnya Muhammad Hafiz Yaziz, 31, berkata dia perlu bekerja keras kerana bakal memikul tanggungjawab yang besar. ARTIKEL BERKAITAN: Ippo Hafiz bakal timang cahaya mata pertama - “Isteri tidak alami alahan tapi saya pula yang mengidam” Menurut Ippo, dia dan isteri sudah merancang untuk mempunyai ramai anak memandangkan usia mereka sudah mencecah 30-an. Ippo mempunyai seorang anak angkat perempuan yang dijaga sejak lahir. "Setakat ini, saya dan isteri memang dah buat keputusan tidak mahu mengetahui jantina bayi. Kami tidak kisah lelaki atau perempuan asalkan sihat dan sempurna sifatnya. "Saya anggap menunggu kelahiran bayi ini satu tanggungjawab yang besar dan memberi semangat untuk saya bekerja lebih keras untuk menjadi seorang bapa kali kedua. "Sekarang ini, usia pun dah masuk 30-an, kami bersyukur Allah berikan rezeki dan memang ada perancangan nak ramai anak," kata Ippo kepada mStar. Ippo ditemui ketika majlis penutupan Kursus Asas Pertahanan Awam (Bridge Kesenian APM) di Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Kajang, baru-baru ini. Saya simpan impian 9 tahun sejak bergelar komposer iaitu membuat lagu untuk Siti Nurhaliza dan akhirnya akan tercapai. IPPO HAFIZ PENYANYI DAN KOMPOSER Menerusi laporan mStar pada 16 Januari lalu, penyanyi lagu Kekal Bahagia ini memberitahu isterinya yang kini hamil empat bulan tidak mengalami alahan namun dia pula terkena simptom mengidam. Ippo mendirikan rumah tangga dengan pasangannya itu pada 24 Ogos lalu dalam sebuah majlis sederhana di Impian Abadi 8, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Pasangan itu mula menjalinkan cinta selepas Fara menjadi model muzik video lagunya berjudul Saat Bahagia yang menjadi runut bunyi drama popular Pujaan Hati Kanda. Sebelum ini, raja 'runut bunyi' ini mendedahkan dia mempunyai seorang anak angkat bernama Cinta Rizky Amanda, 4, yang dijaga sejak dilahirkan. Ippo anggap kerjasama dengan Siti Nurhaliza adalah rezeki bayinya yang bakal lahir tidak lama lagi. Dalam pada itu, Ippo meluahkan rasa syukur apabila impiannya mencipta lagu untuk penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza tercapai. "Saya simpan impian 9 tahun sejak bergelar komposer iaitu membuat lagu untuk Siti Nurhaliza dan akhirnya akan tercapai. "Sebelum ini pun saya pernah menghantarkan demo lagu untuk dia tetapi ketika itu rezeki tak berpihak pada saya. "Alhamdulillah, kali kedua membuahkan hasil dan lagu itu merupakan runut bunyi untuk sebuah drama," ujarnya.