suria

Najib Razak doakan Drama Band selamat daripada kemalangan, netizen pula ‘buka cerita’ parodi final AJL

Kemalangan jalan raya membabitkan kumpulan Drama Band turut menarik perhatian bekas perdana menteri.

BERITA kemalangan jalan raya membabitkan ahli kumpulan Drama Band pada pagi Ahad lalu bukan sahaja mengejutkan peminat, malah turut menarik perhatian bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menerusi muat naik di Facebook, Najib berharap ahli kumpulan tersebut berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Dia turut meminta orang ramai berhati-hati semasa di jalan raya dan sentiasa berwaspada.

ARTIKEL BERKAITAN: Drama Band kemalangan dilanggar pemandu mabuk - “Pemandu kereta dan kekasihnya larikan diri”

ARTIKEL BERKAITAN: Drama Band tiada niat singgung mana-mana pihak - “Segelintir orang tak dapat terima mesej kami”

"Harap semua okay dan tiada yang cedera. Atas jalan raya kita bukan saja perlu hati-hati memandu.

"Selalu kita kena berwaspada dengan kenderaan keliling kita. Saya doakan agar semua selamat di jalan raya," katanya.

Najib muat naik paparan skrin berita kemalangan membabitkan kumpulan Drama Band.

Bersama status tersebut, Ahli Parlimen Pekan ini turut berkongsi paparan skrin berita mengenai kemalangan membabitkan finalis Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) ini.

Pada Ahad lalu, malang tidak berbau apabila beberapa orang ahli kumpulan Drama Band iaitu Aepul, Daus, Padel dan seorang pekerja mereka terlibat dalam kemalangan kereta kira-kira pukul 1.30 pagi di Pulau Pinang.

Menurut vokalis kumpulan, Aepul Roza, kereta mereka mengalami kerosakan sepenuhnya (total loss) selepas dilanggar pemandu kereta Vios yang dipercayai dalam keadaan mabuk.

Aepul juga berkata pemandu tersebut bersama teman wanitanya melarikan diri dengan meninggalkan kereta mereka di lokasi kejadian.

Kenderaan rosak teruk, bagaimanapun tiada mangsa yang mengalami kecederaan parah.

Sebelum ini, nama Drama band menjadi perbualan hangat netizen gara-gara persembahan cynical parody dengan menggunakan pelbagai karakter figura terkenal di malam AJL34 pada Februari lalu.

Menerusi persembahan lagu berjudul Drama, kumpulan ini menggunakan beberapa karakter yang didakwa menyerupai figura terkenal antaranya Haqiem, Haneesya Hanee, PU Abu dan Da'i Farhan.

Drama Band yang dianggotai oleh Aepul selaku vokalis, Adib (gitar), Daus (bes) dan Faeez (dram) ini turut didakwa menampilkan watak Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Sebahagian sketsa persembahan Drama Band ketika AJL baru-baru ini.

"Datuk Seri Najib masih mendoakan yang baik-baik walaupun diperlakukan begitu. Terbaik, contohi dan ambil iktibar.

"Dah kena bahan masa kat AJL pun Datuk Seri masih mendoakan yang baik-baik je... Semoga Drama Band sedar akan kesilapan lalu.

"Drama Band baik mohon maaf kepada semua yang kamu dah drama sangat kat AJL tu, moga kamu semua dipermudahkan," tulis beberapa pengguna Facebook.

Najib razak, Drama Band

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan