suria

“Ketika ini ada insan yang menghitung baki beras” - Que Haidar ajak orang seni pernah dapat kejayaan berganda bantu kru belakang tabir

Que tidak dapat membayangkan keadaan krew produksi yang mempunyai keluarga kehilangan sumber pendapatan akibat PKP.

SELAIN penyanyi Black Hanifah dan Tomok, pelakon Que Haidar turut menyeru mana-mana pihak terutama golongan seni membantu pekerja belakang tabir yang turut terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi Instagram Que, 41, berkata ramai rakannya yang mempunyai keluarga bergantung kepada gaji harian kini kehilangan sumber pendapatan selepas semua aktiviti seni termasuk penggambaran terpaksa ditangguhkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Radin, Haniff guna duit gaji bantu anak seni terjejas PKP - “Kami bukan kaya, tetapi pernah merasa tiada”

"Dalam situasi sekarang ramai sahabat saya hilang sumber pendapatan. Turut terkesan juga adalah penerbit yang baru separuh jalan shooting namun terpaksa tangguhkan sementara keadaan reda. Terbungkam saya memikirkan.

Que bersama isteri dan anak-anaknya.

"Bagaimana nasib sahabat saya dalam menghadapi hari-hari mendatang. Kru produksi antara yang paling terkesan dalam situasi ini termasuk creatif team.

"Dengan pendapatan gaji harian, mereka berkeluarga dan perlu meneruskan kehidupan seperti yang lain. Peristiwa yang berlaku ketika ini memberikan pengajaran kepada kita untuk bersatu hati.

"Saya dengan rasa rendah hati dan insaf menyeru agar jika ada ruang-ruang keinsafan bersama barisan penerbit atau individu yang telah dan pernah menerima kejayaan berganda dalam industri ini, bantulah insan-insan yang bergelar hero belakang tabir ini," katanya.

Que berkongsi perkara itu di laman Instagram dan berharap ia dapat membuka ruang kepada mana-mana pihak memberi bantuan kepada yang memerlukannya.

Tidak lupa juga kepada persatuan seni yang mendahului tindakan membantu ahli-ahli persatuan.

QUE HAIDAR

PELAKON

Sebelum ini, penyanyi Black Hanifah dan Tomok menjadi mangsa kecaman netizen yang mempertikaikan tindakan mereka meminta kerajaan agar tidak melupakan golongan pekerja seni.

Bagaimanapun terdapat salah faham kerana tidak memahami suara mereka itu adalah bagi mewakili pekerja seni lain khususnya di belakang tabir dan selebriti veteran.

Dalam pada itu, pemilik nama Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar ini berterima kasih kepada persatuan seni yang bertindak terlebih dahulu memberi sumbangan kepada ahli persatuan.

Haniff dan Radin gunakan sebahagian gaji bulan Mac untuk disumbangkan kepada yang memerlukan.

"Tidak lupa juga kepada persatuan seni yang mendahului tindakan membantu ahli-ahli persatuan. Tahniah! Inilah masa dan ketika semuanya jadi satu jentera.

"Kita jadikan #kitajagakita adalah pandemic kepada rasa perikemanusiaan, bertimbang rasa dan kasih sayang kepada seluruh team produksi.

"Cahaya matahari kini tidak seceria dulu kerana ketika ini ada insan-insan yang masih menghitung baki beras," ujarnya.

Penyampai radio Era FM iaitu Radin Amir Effendi dan Haniff Hamzah bersama rakannya, Diyana Amira menggunakan sebahagian gaji bulan Mac untuk disumbangkan kepada pekerja seni dan golongan yang memerlukan.

Artikel Lain