AMALAN suka menabung dan beringat-ingat sejak awal membolehkan pelakon Sharifah Sakinah menyesuaikan diri ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. Kata Sakinah, dia dan beberapa rakan selebriti bersyukur kerana tidak perlu mengharapkan bantuan ketika negara berhadapan krisis penularan wabak Covid-19 yang semakin serius. ARTIKEL BERKAITAN: “Kita pun boleh bantu mereka” - Zulin Aziz ambil jalan tengah, seru artis berkemampuan hulur sumbangan "Alhamdulillah, kami tak perlukan bantuan. Itu pentingnya simpanan. Kami tak ada beg mahal, kami enjoy je. Percaya kepada rezeki memberi (menderma). Ramai artis yang dah derma diam-diam tapi korang tak tahu. "Ramai yang mengambil kesempatan dengan content spill the tea artis, ramai yang sedang tunjuk hero. Jadi, sekarang ada perang antara kami. Sakinah berkongsi perkara itu di Instagram. "Perdebatan antara siapa yang dapat dan siapa yang sengsara atau paling untung. Anda kehilangan perkara yang paling penting, perang bukan antara kita, ia antara kita dengan musuh yang tak dapat dilihat," katanya. Sakinah berkongsi perkara itu dengan memuat naik foto kenangan bersama rakan karibnya yang juga selebriti Nabila Huda dan Sherry Al Hadad di Instagram pada Isnin. Rata-rata netizen di laman sosialnya itu turut bersetuju dengan pendapatnya dan berharap semua pihak bersatu padu untuk memerangi wabak Covid-19. Sebelum ini selebriti Black Hanifah, Tomok dan Shuib Sepahtu dikecam netizen gara-gara menyuarakan pandangan mengenai golongan anak seni terutama perlu dibantu. Baru dugaan sekecil-kecil zarah, tapi kesannya pada seluruh muka bumi tak kira kasta. SHARIFAH SAKINAH PELAKON Biarpun kenyataan mereka disokong ramai rakan artis, namun ada juga yang berpandangan bahawa pekerja industri seni tidak perlu diberi layanan khas. Ia kerana inisiatif yang diperkenalkan kerajaan memadai untuk dinikmati semua rakyat yang memenuhi syarat. Selain isu rayuan selebriti, netizen juga berang dengan sikap dan tindakan segelintir usahawan mempertikaikan bantuan kerajaan yang diberikan kepada golongan kurang berkemampuan. Namun Sakinah berkata dalam situasi ini, semua pihak harus bersatu hati tanpa mengenal latar belakang dan menjaga satu sama lain. Adik kepada penyampai radio Suria FM Sharifah Shahirah ini meluahkan rasa sedih melihat pergaduhan yang berlaku sedangkan semua orang perlu bekerjasama dalam keadaan kritikal ini. Sakinah sedih melihat perbalahan di laman sosial. "Tidak kira jika kita golongan B40, T20, PN atau PH, bangsa Melayu, Cina, Johor atau Kadazan. Kita semua hamba Allah di muka bumi. Kita kena jaga satu sama lain. "Semoga Allah mengampuni kita semua. Baru dugaan sekecil-kecil zarah, tapi kesannya pada seluruh muka bumi tak kira kasta. "Mari buang perbezaan kita dan fokus kepada memberi. Semua orang ada fungsi istimewa dalam satu keluarga besar yang dikenali sebagai manusia. Sakinah sedih tau. Patutnya kena kerjasama... tapi sekarang ni bergaduh pula," ujarnya.