suria

Keputusan kes saman Fazura ditangguhkan kerana PKP

Keputusan kes saman akan ditentukan pada 6 Mei depan berikutan PKP.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa menetapkan 6 Mei depan keputusan kes saman pemilik syarikat Maydan Trading terhadap Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Shariffudin atas dakwaan melanggar perjanjian syarikat selepas pelakon yang juga penyanyi itu melancarkan produk kesihatan dan kecantikan 'Trudolly' dalam tempoh perjanjian.

Menurut laporan Bernama, Hakim Datuk Mohd Firuz Jaffril sepatutnya membuat keputusan itu hari ini, namun ditangguhkan pada tarikh baharu berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan.

Perkara itu dimaklumkan peguam Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Nur Fazura ketika dihubungi Bernama.

ARTIKEL BERKAITAN: Fazura dibayar RM156,000, disaman gagal promosi Q-Tab secara eksklusif

Mahkamah sebelum ini mendengar keterangan daripada beberapa saksi termasuk Nur Fazura.

Fazura bersama peguamnya ketika ditemui di mahkamah pada Februari tahun lalu.

Narhamdan Abd Malek, yang memiliki dan menjual produk makanan tambahan yang boleh dikunyah dikenali sebagai 'Q Tab' untuk kesihatan rambut, kulit dan kuku memfailkan saman pada 16 Dis 2017 dengan menamakan Nur Fazura, 37, dan Universal Music Sdn Bhd sebagai defendan pertama dan kedua.

Dalam penyataan tuntutan, Narhamdan selaku plaintif mendakwa pada 10 Ogos 2017 terdapat perjanjian antara beliau dengan Universal Music supaya Nur Fazura memasarkan produk 'Q Tab' dalam tempoh enam bulan melalui media sosial, khususnya Instagram milik pelakon itu selain Nur Fazura perlu mengambil gambar dan video bagi kegunaan plaintif dalam pemasaran produk berkenaan.

Pada 25 Februari tahun lalu, Narhamdan memberitahu mahkamah bayaran sebanyak RM156,000 telah dilunaskan kepada Fazura untuk memasarkan produknya itu.

Bagaimanapun, bayaran itu tidak setimpal dengan 75 peratus tugas yang dijanjikan oleh pelakon itu dalam mempromosikan produk tersebut sejak Oktober 2017.

Kata ahli perniagaan berusia 55 tahun itu, Fazura hanya menjalankan satu sidang media, sesi fotografi serta video, mempromosikan dan memuat naik berkaitan produk itu di Instagram miliknya sebanyak tiga kali.

Dakwa Narhamdan, akibat pelanggaran yang berlaku dalam pemasaran Trudolly oleh Fazura dan Universal Music dalam persaingan dengan produk 'Q Tab', plaintif mengalami kerugian apabila pemasaran produknya telah diabaikan dan memihak kepada Trudolly selain mendakwa penjualan produk 'Q Tab' telah berkurangan.

Oleh itu, plaintif antara lain menuntut pembayaran balik RM156,000 daripada kedua-dua defendan, ganti rugi RM141,755.61 kerana pelanggaran kontrak, faedah dan kos.

Fazura dalam penyataan pembelaan difailkan pada 29 Jan, 2018 mendakwa beliau tidak pernah memasuki apa-apa perjanjian dengan plaintif, tidak terikat serta tidak mempunyai sebarang kontrak perjanjian dengan plaintif.


Fazura, saman

Artikel Lain