MESKIPUN sudah memasuki hari ke-33 pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun masih ramai individu yang ingkar dengan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan. Justeru itu, penyanyi Farahdhiya meluahkan rasa marah dengan sikap segelintir masyarakat yang hanya mementingkan diri dan tidak patuh dengan saranan pemerintah itu. Malah, dia berasa malu apabila ada dalam kalangan rakan artis turut menunjukkan contoh tidak baik kepada masyarakat. ARTIKEL BERKAITAN: “Saya jarang berenggang dengannya, dia nyawa saya” - Bapa Farahdhiya meninggal dunia "Nak pesan kepada segelintir yang masih degil, baik artis dan orang-orang lain. Minta maaf kata, saya naik menyampah tengok perangai manusia yang cakap besar dan bangga melanggar peraturan. "Saya malu apabila ada juga kawan-kawan seperjuangan saya yang perangai macam tu juga. Sekurang-kurangnya tunjuklah tauladan yang baik kepada masyarakat... ini tidak, dengan berlagak dan tak tahu malunya dia melanggar peraturan dengan keluar pergi jogging (walau di kawasan rumah) keluar pergi beli barang dapur lebih dari seorang. "Jangan ingat gelaran artis tu ada special treatment tak kena tahan ya, kita semua sama je macam orang-orang lain, tak ada lebih tak ada kurang. Saya malu tengok perangai sorang-sorang," katanya menerusi laman Instagram. Farahdhiya tulis pandangan di Instagram. Bersama kapsyen itu, dia turut memuat naik paparan skrin sidang media harian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai kes wabak Covid-19. Beberapa hari lalu, kes positif membabitkan jangkitan virus itu menunjukkan penurunan di Malaysia membuktikan pelaksanaan PKP berhasil dan mampu membendung penularan wabak. Dalam pada itu, penyanyi lagu Bertakhta Dihati ini turut menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan dan menganggap mereka adalah hero dalam melawan Covid-19. Farahdhiya tegur sikap segelintir rakan artis ingkar PKP. "Alhamdulillah, inilah hasil dari kita semua yang mendengar kata kerajaan supaya duduk di rumah. "Good job and congratulations (Ketua Pengarah Kesihatan) Datuk Dr Noor Hisham, seluruh warga KKM dan frontliners. "Anda adalah hero sebenar! Terima kasih tak terhingga untuk perjuangan menghapus Covid-19. Semoga kes baharu terus menurun," ujarnya. Sementara itu, Farahdhiya meminta orang ramai terus kekal berada di rumah dan tidak melanggar PKP yang dijangka berakhir pada 28 April ini. Farahdhiya kagum semangat petugas barisan hadapan. "Semoga korang dibukakan hati dan minda supaya berkelakuan baik selepas ini, tolonglah mana tanggungjawab kita semua sebagai warga Malaysia. "Baik yang artis atau pun tidak, tolong dengar kata kerajaan, jangan ketegaq (degil) sangat. Not cool! Bravo Malaysia... siapa makan cili dia rasa pedas!" katanya. Sehingga Isnin, Malaysia menyaksikan pertambahan 36 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan virus itu sebanyak 5,425 kes. Seramai 3,295 sudah pulih dan dibenarkan keluar dari hospital menjadikan kes aktif hanya 2,041 kes. Manakala jumlah kumulatif kematian sebanyak 89 kes.