GARA-GARA memuat naik video tarian TikTok di Instagram, penyanyi Wani Kayrie menerima pelbagai komen negatif daripada netizen. Menurut Wani, dia kesal apabila ada individu yang bukan pengikutnya melemparkan kata-kata kesat dan menjatuhkan hukum sewenang-wenangnya atas tindakannya itu. "Sejujurnya saya kesal apabila berkongsi video menari dan tiba-tiba muncul komen-komen hinaan dan negatif daripada mereka yang tak pernah follow dan baru kenal saya. ARTIKEL BERKAITAN: Wani Kayrie belajar simpan duit - “Pernah belanja sampai tinggal RM100 dalam bank” "Padahal sebelum ini pun memang saya minat menari dan pernah masuk program Dansa Dan Sing... tapi mereka ni mungkin tak pernah tahu tentang minat saya dan terus hentam saya hanya kerana video yang baru mereka tengok itu. "Lagipun video itu hanya suka-suka sahaja, bukan nak goda orang dan saya muat naik di Instagram sebab nak promosi jenama kasut yang dipakai," katanya kepada mStar. Wani minat menari dan sering berkongsi video tarian di laman sosial. Sebelum itu, menerusi Instastory, penyanyi lagu Magika ini berkongsi luahan rasa kecewa dengan sikap segelintir individu yang gemar menghentam tanpa memikirkan hati dan perasaan orang lain. Enggan isu ini mengganggu emosinya, Wani berkata dia memilih untuk mengabaikan sebarang bentuk komen negatif yang ditinggalkan oleh netizen. Malah, jika keterlaluan, dia bertindak memadam dan menyekat akaun pengguna tersebut. Luahan hatinya di Instastory adalah bersifat umum untuk semua pengikut dan pengguna laman sosial. "Saya terima komen mereka itu sebagai teguran dan ingatan tapi janganlah dengan ayat-ayat negatif yang boleh menggores hati orang lain. "Kalau selepas ini ada komen yang terlalu melampau saya padam sahajalah! Saya tak nak ruangan media sosial itu dipenuhi dengan benda negatif dan kebencian. "Saya sedar benda ini bukan jadi pada saya sahaja, malah ramai selebriti lain turut menerima nasib sama... jadilah pengguna media sosial yang matang dan positif," ujarnya.