suria

Isu Melayu diperlekeh! PU Azman pun terasa tapi Allah suruh kita memaafkan - “Kalau nak boikot, boikot sendiri tanpa tiup provokasi”

PU Azman berkongsi pandangan mengenai tuntutan memaafkan individu lain dalam Islam.

GARA-GARA posting yang didakwa memperlekehkan orang Melayu di Instastory baru-baru ini, usahawan Muzaffar Mohamed Jakel terus menerima kecaman hebat netizen.

Meskipun sudah membuat permohonan maaf dan menjelaskan situasi sebenar, namun kemarahan netizen nampaknya masih belum reda sehinggakan ada gerakan mengajak masyarakat memboikot perniagaan yang dibina keluarga usahawan ini.

Menerusi satu posting yang dimuat naik oleh Pencetus Ummah (PU) Azman di Instagram, pendakwah bebas itu berkongsi pandangannya mengenai kepentingan memaafkan kesilapan orang lain seperti yang dianjurkan dalam Islam.

ARTIKEL BERKAITAN: Posting dimanipulasi, Muzaffar buat penjelasan... gesa pelanggan support semula bisnes - “Abang saya sangat humble, baik... saya saja yang teruk”

Walaupun tidak menyebut secara khusus mengenai isu yang berlaku, namun pengikut mengaitkan pandangan PU Azman itu dengan kejadian yang sedang tular di media sosial.

"Cik Man juga Melayu, marah juga rasa tapi sampai bila? Ketika dia melontarkan sentimen perbezaan, cuba kita cari apa yang kita sama dengan dia iaitu mukmin (beriman kepada Allah).



PU Azman kongsi pandangan di Instagram.

"Ketika sesama mukmin berseteru, ada yang lain meraikan kemenangan. Bukankah Allah memujuk kita dalam surah Al Hujurot ayat 10... maksudnya: 'Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih)'.

"Ketika kita menuding jari kepada orang yang menghina, kerana tidak ikut sunnah Rasul dalam berkata baik, kita juga terpalit tidak mengikut sunnah Rasul dalam memaafkan," katanya.

Sementara itu, PU Azman berkata memaafkan kesilapan seseorang merupakan satu tuntutan dalam Islam dan tiada kaitan dengan bangsa.



Muzaffar buat permohonan maaf.

"Ini bukan lagi soal kita mesti boikot produk sesiapa tapi soal mengamalkan pesan Allah dan Rasul. Bila kita silap akhlaknya memohon maaf. Bila kita dihulurkan permohonan maaf, akhlaknya pula memaafkan.

"Mungkin kita sukar melupakan tapi Allah suruh kita memaafkan... kita nak terus ingat kesilapan dia, silakan kerana itu soal ingatan. Tapi memaafkan adalah satu kewajipan kerana itu soal tuntutan.

"Jadi jangan tiupkan provokasi boikot kepada sesama masyarakat ini yang dilarang. Kalau nak boikot, boikot sendiri tanpa perlu memperlihatkan di media sosial," ujarnya.

Pada Isnin lalu, Muzaffar menerusi Facebook membuat permohonan maaf berhubung kenyataanya itu dan memberitahu menjadi mangsa manipulasi pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan dia dikecam hebat oleh netizen.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

PU Azman

Artikel Lain