PELAKON Datin Diana Danielle menegur sikap segelintir rakyat Malaysia yang mempersoalkan mengenai gerakan protes Black Lives Matter yang dianjurkan oleh warga Amerika Syarikat, baru-baru ini. Menerusi laman Instagram, Diana meluahkan rasa bengang apabila menerima komen daripada netizen yang meminta supaya kumpulan penyokong protes tersebut turut memperjuangkan nasib kaum lain yang tertindas. "Saya nak tegur sikit boleh? Apabila semua orang tengah memperjuangkan sesuatu isu tolong hormat... contohnya sekarang #blacklivesmatter (kehidupan orang kulit hitam itu penting). ARTIKEL BERKAITAN: “Betapa pentingnya Farid untuk saya” - Diana Danielle hargai masa bersama sementara hukuman penjara ditangguh "Ada orang komen kata kenapa perjuangkan isu itu sahaja sebab all lives matter (semua kehidupan penting)... tension kadang-kadang, sekarang kita perjuangkan satu isu! Tak bolehlah dalam satu masa tiba-tiba nak naikkan 14,000 isu, nanti tak ada tumpuan atau fokus dalam isu itu. Diana muat naik video pandangannya di Instagram. "Dulu ada hashtag #SavePalestine jadi kita fokus pada gerakan tu, janganlah apabila orang tengah fokus untuk satu isu, orang lain masuk (persoalkan) kenapa Palestine je... kenapa tak semua negara-negara tertindas? Macam mana nak jawab? Macam mana nak puaskan hati orang!," katanya. Baru-baru ini, masyarakat dunia menyuarakan slogan Black Lives Matter sebagai salah satu bentuk solidariti atas kematian George Floyd warga kulit hitam di Amerika Syarikat. Hashtag #blacklivesmatter menjadi trending di media sosial serta mendapat perhatian dunia sehingga mencetuskan ketegangan dan rusuhan di beberapa bandar besar negara tersebut. Diana bersama suami, Farid Kamil. Sementara itu, isteri kepada pelakon Datuk Farid Kamil ini berpendapat adalah tidak wajar mana-mana pihak atau individu mempertikaikan mengenai gerakan tersebut. "Kita nak beri kesedaran orang... naikkan satu isu kemudian barulah ke isu lain, tak boleh menidakkan perjuangan orang lain sebab ini apa yang sedang terjadi kepada mereka. "Mereka mulakan gerakan ini dan kita sokong, bukan kata yang ini lebih penting atau berkuasa dari yang itu... sekarang ini gerakan #blacklivesmatter! Just support," ujarnya. Sebelum ini, ada beberapa individu mempersoalkan mengenai gerakan tersebut yang hanya memperjuangkan masyarakat kulit hitam di Amerika Syarikat sedangkan ada bangsa lain turut ditindas antaranya rakyat Palestine dan negara Islam lain.