BERMULA dengan hanya cover lagu di laman sosial dan memuat naik di saluran YouTube, penyanyi Haikal Farid kini antara bakat baharu yang sedang meningkat naik. Haikal, 21, mengakui dia berasa gementar dan bimbang untuk memasuki industri seni memandangkan pernah menerima kecaman yang mengatakan suaranya seperti wanita. Suara Haikal dikatakan seperti wanita. "Nak cakap bersedia tu, tak juga sebab ada juga perasaan takut tu. Sekarang pun bila saya cover lagu, ada juga orang yang kecam dan kata suara saya seperti perempuan la. "Tapi saya akan cuba untuk terima kecaman atau teguran itu secara perlahan-lahan. Tapi kalau ada komen negatif itu, saya selalunya hanya membiarkan sahaja. "Saya memang baca semua komen di laman sosial. Tapi nak buat macam mana, bagi saya orang-orang yang kecam ini selalunya mahukan perhatian," kata Haikal kepada mStar. Haikal akui komen negatif beri kesan kepadanya. Penyanyi baharu yang mempunyai single pertama berjudul Demam Cinta itu berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di rakaman sebuah program realiti di Glenmarie, Shah Alam, baru-baru ini. Dalam pada itu, Haikal yang kini di bawah pengurusan syarikat rakaman Rusa Sdn Bhd itu memberitahu komen negatif sedikit sebanyak memberi kesan kepada dirinya. "Komen negatif memang memberi kesan kepada saya tapi kesan itu hanya sekejap sahaja. Bukan nak kata saya jiwa kental sebab tak pernah lagi lalui kecaman yang sangat teruk," ujarnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!