suria

“Saya bertahan demi sesuap nasi anak saya” - Balu Abam jual cempedak goreng sara keluarga

Nor Hidayah menjalankan pelbagai jenis perniagaan sejak Allahyarham Abam meninggal dunia.

SEJAK pemergian suami tercinta iaitu pelawak Abam Bocey, Nor Hidayah giat menjalankan pelbagai jenis perniagaan untuk menampung kos perbelanjaan demi membesarkan anak mereka iaitu Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey, 13 bulan.

Nor Hidayah, 28, memulakan perniagaan membuat kuih pada April lalu sebelum mengembangkan bisnesnya dengan menjual cempedak dan durian goreng di sebuah gerai yang terletak di Sabak Bernam, Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Pilu... Nor Hidayah sambut Aidilfitri tanpa Abam Bocey di sisi - “Rasa janggal kerana selama ini arwah yang sediakan persiapan”

ARTIKEL BERKAITAN: Nor Hidayah komen dakwaan enggan jernihkan hubungan dengan keluarga mentua, sebak... anak dah mula panggil ayah!”

"Alhamdulillah, berkat doa daripada semua, saya meniti satu persatu bisnes kecil-kecilan.



Nor Hidayah bersama adik iparnya berniaga cempedak dan durian goreng di Sabak Bernam, Selangor.

"Saya bermula dengan membuat kuih Kasih Chocolate, seterusnya kuih Titian Kasih koko dan sekarang cempedak goreng serta durian goreng.

"Saya memilih untuk buat bermacam-macam jenis bisnes sebab ini adalah salah satu punca rezeki saya sekeluarga dan tanpa semangat serta dorongan keluarga, saya tak sampai ke tahap ini untuk bertahan.

"Saya juga bertahan membuat bisnes kecil-kecilan demi sesuap nasi anak saya dan masa depannya," katanya kepada mStar.

Bercerita tentang perniagaan, Nor Hidayah berkata keluarganya mula berjinak dalam bidang ini apabila bapanya mengeluarkan produk kesihatan pada tahun 2017.

Saya buat bermacam-macam jenis bisnes sebab ini adalah salah satu punca rezeki saya sekeluarga.

NOR HIDAYAH

BALU ABAM BOCEY

Dia menceburkan diri dalam perniagaan selepas bisnes bapanya mendapat sambutan baik.

Tidak cukup dengan itu, Nor Hidayah mengimpikan untuk mengembangkan lagi pelbagai produk jualannya pada masa akan datang.

"Setakat ini, bermacam-macam jenis bisnes yang saya buat bersama keluarga. Ayah saya ada mengeluarkan produk kesihatan iaitu ZMier Herbs Daun Sukun, dapat merawat penyakit kencing manis, darah tinggi, kolestrol dan pelbagai jenis penyakit lain... serta Durian Viral Ayahanda Jali.

"Kakak saya pula ada mengeluarkan produk Roti Jala Coklat Marvelous dan Tepung Segera Roti Jala Coklat Marvelous.



Nor Hidayah dan Allahyarham Abam dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang berusia 13 bulan.

"Saya ada mengeluarkan kuih Kasih Chocolate, kuih Titian Kasih Koko, cempedak goreng, durian goreng, jeruk rambutan dan Tempoyak Bonda. InsyaAllah, akan ada pembaharuan produk dari masa ke semasa.

"Saya masih ada banyak perancangan untuk pelbagaikan bisnes," ujarnya.

Nor Hidayah dan Abam melangsungkan perkahwinan pada 8 Disember 2017 di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam.

Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia 13 bulan.

Allahyarham Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan meninggal dunia pada 10 Februari lalu selepas dua hari mengalami demam.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain