suria

Jabir Meftah tak sangka dikhianati kawan sendiri - “Mereka cuma nak jadi viral... ambil kesempatan guna nama saya”

Jabir Meftah tak sangka dikhianati kawan sendiri.

PERNAH menyahkaktif laman Twitter selepas dituduh bermacam-macam perkara, finalis Hero Remaja 2020 Jabir Meftah akui dari situlah dia mengenali siapa sahabatnya yang sebenar.

Menurut Jabir, 20, dia menyedari perkara itu selepas kenalan yang dianggap sahabat telah menyalahgunakan namanya untuk kepentingan diri sendiri dan mempunyai niat tidak baik terhadapnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Finalis Hero Remaja, Jabir Meftah cari wanita yang sudi mendengar

"Masa saya mula menyertai Hero Remaja, ramai orang yang buat cerita yang tak betul dan ramai yang ada hasad dengki.

"Masa tu saya iyakan saja dan buat tak tahu. Saya fikir daripada saya fikirkan dan melayan apa yang diperkatakan tu, baik saya diam dan buat tak tahu saja.

Populariti Jabir disalah guna rakan sendiri.

"Saya buat keputusan untuk nyahaktif Twitter untuk sementara waktu dan fokus kepada Hero Remaja dan juga perancangan untuk organisasi saya iaitu Youth Care Malaysia," katanya kepada mStar.

Menceritakan hal itu, Jabir atau nama sebenar Jabir Jilani Meftah, 20, berkata, individu yang dianggap kawan tersebut pernah menuduh dia mempunyai hubungan dengan teman wanita mereka.

Kata Jabir, perkara itu tidak pernah berlaku dan sengaja direka-reka dengan niat memburukkan namanya.

"Macam-macam yang mereka cakap tentang saya. Ada yang kata saya kacau teman wanita mereka padahal saya tak kenal langsung dengan perempuan itu.

Mereka cuma nak nama mereka jadi viral... nak ambil kesempatan dengan menggunakan nama saya.

JABIR MEFTAH

FINALIS HERO REMAJA

"Ada yang kata saya bayar RM50 sebagai upah rekaan grafik yang mereka buat untuk acara Youth Care Malaysia yang pertama saya anjurkan.

"Padahal masa tu itu saja duit yang saya ada. Saya bagi padanya sebagai sagu hati. Kalau ikutkan dia tak perlu dibayar pun sebab dia hanya sukarelawan," jelasnya.

Tambahnya, apabila dia cuba berdepan dan menyelesaikan salah faham itu, individu itu hanya mengelak dan enggan menerangkan hal sebenar.

Jabir turut mengakui dia kini lebih berhati-hati dalam memilih teman yang boleh dan tidak boleh dipercayai.

Jabir merupakan pemenang tempat keempat program Hero Remaja 2020.

"Bila saya berdepan dengan mereka dan minta mereka menjelaskan situasi sebenar, mereka cuma cakap yang saya tak tahu apa-apa dan tak perlu ambil tahu pun.

"Dari situ saya sedar siapa kawan siapa lawan. Orang yang saya anggap kawan sanggup buat macam ni pada saya. Sejak tu, saya mula berhati-hati dalam berkawan.

"Mereka cuma nak nama mereka jadi viral... nak ambil kesempatan dengan menggunakan nama saya," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Jabir Meftah, Hero Remaja

Artikel Lain