suria

Gitaris Eddy Malmsteen meninggal dunia terkena renjatan elektrik ‘water heater’

Sehingga kini kes kematian Eddy Malmsteen diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).-Foto Nizam Rahman Photography

GITARIS Wan Radzie Wan Othman meninggal dunia kira-kira pukul 11 malam Sabtu dipercayai akibat terkena renjatan elektrik daripada alat pemanas air.

Wan Radzie atau lebih dikenali sebagai Eddy Malmsteen, 30, ditemukan dalam bilik air di sebuah rumah dekat Batu 11, Jalan Lama Gombak bersama kakaknya Wan Zunaira, 32.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, seorang kanak-kanak lelaki turut berada dalam keadaan lemah di lokasi kejadian.

"Ada seorang kanak-kanak lelaki turut dikatakan berada dalam keadaan lemah, di rumah itu.

"Pihak ambulans yang tiba kemudian mengesahkan kematian lelaki dan wanita terbabit yang juga suri rumah dipercayai akibat terkena renjatan elektrik," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Arifai berkata, kanak-kanak berusia tiga tahun itu dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

Tambahnya, siasatan awal mendapati mangsa wanita itu sedang memandikan anaknya, sebelum tiba-tiba terkena renjatan elektrik.

"Adik lelakinya yang kebetulan berada di rumah terdengar jeritan mangsa meminta tolong lalu bergegas ke bilik air untuk membantu, namun turut terkena renjatan elektrik," katanya.

Dalam pada itu, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu namun setakat ini, ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang, Ahmad Syauqi Abdullah, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 12.01 tengah malam Sabtu.

Seramai sembilan anggota menaiki dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, kami mendapati terdapat dua mangsa membabitkan seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 30-an terkena renjatan elektrik, selain seorang kanak-kanak ditemui dalam keadaan lemah," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain