BERITA pemergian peserta program Big Stage 2020, Allahyarham Sandra Dianne turut ditangisi penyanyi Wani Kayrie yang juga merupakan teman seperjuangannya sejak lima tahun lalu. Menurut Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah, 20, dia percaya dengan bakat Sandra dan meletakkan jangkaan bahawa Allahyarham akan berjaya menjadi salah seorang finalis program tersebut pada tahun ini. ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi Sandra meninggal dunia selepas 6 hari bertarung nyawa di ICU Wani berkata, dia syukur diberi kesempatan berborak panjang bersama arwah ketika terbabit dengan latihan raptai Big Stage pada minggu ketiga. Sandra meninggal dunia selepas enam hari di ICU akibat kemalangan. "Sandra Dianne, rakan seperjuangan yang sama batch 2015 dengan Wani masa baru menapak dalam industri. Banyak perform sama-sama sebab nama kami baru nak naik dimana orang tak kenal pun nama kami tapi kenal lagu saja. "Tapi dia bekerja keras sehingga sekarang untuk bina nama. Rezeki dia, bila Wani tahu dia masuk Big Stage 3, Wani dah sasarkan Sandra boleh jadi salah seorang finalis sebab Wani percaya kebolehan dan bakat dia. "Walaupun dah lama tak berjumpa, dapat juga berkongsi cerita tentang awal-awal karier kami dan PICC menjadi saksi kali terakhir kami berborak dan gelak sama-sama sebelum dia pergi buat selamanya," kata Wani. Dia baik hati tak suka cakap fasal orang SARAH FAZNY PENYANYI Sandra atau nama sebenarnya Alessandra Dianne Ampuriam, 26, meninggal dunia pada pukul 1 pagi, Jumaat selepas kira-kira enam hari bertarung nyawa dalam wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya. Jenazah akan dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halamannya yang terletak di Kampung Kauluan, Tuaran Sabah pada petang, Jumaat. Penyanyi yang dikenali menerusi lagu Hey Kau dikatakan mengalami kegagalan fungsi otak akibat kemalangan jalan raya pada 5 September lalu. Dalam pada itu, penyanyi Sarah Fazny yang pernah bernaung di bawah pengurusan syarikat yang sama iaitu Indigital, menyifatkan Allahyarham seorang yang baik hati dan sentiasa positif. Sarah (tengah) bersama Ella dan arwah Sandra. "Perjuangannya dalam industri sudah berakhir. Tapi doa daripada orang yang mengenalinya takkan pernah berakhir. "Arwah secara peribadi seorang yang baik hati, tak suka cakap fasal orang dan sentiasa positif. "Susah senang bergelut nak buktikan kehadiran dalam dunia seni hanya kami saja tahu. Kereta tiba-tiba mati sebab minyak habis dan tak dapat ke sesi fotografi antara memori kami dulu," kata Sarah. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!