MELANGKAH ke dunia politik bukan perkara baharu buat selebriti, vokalis kumpulan Estranged iaitu Rich mengakui sudah bersedia untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) yang berkemungkinan akan diadakan dalam masa tiga tahun lagi. Rich, 38, ini berkata dia mengambil keputusan untuk bertanding menjadi calon wakil rakyat Tambunan, Sabah selepas dua tahun melakukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama Estranged di kawasan perkampungan daerah itu. Menurut pemilik nama Richael Lawrence Gimbang, dia mahu membantu penduduk kampung pendalaman yang berhadapan dengan masalah air, elektrik selain fokus kepada pendidikan generasi muda. "Buat masa sekarang, saya hanya umum mengenai keputusan saya untuk bertanding di Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) akan datang, bukan yang terkini. Saya akan bertanding untuk calon wakil rakyat Tambunan. Rich (baju merah) bersama dua anggota Estranged melakukan CSR di kampung pendalaman. "Tapi saya tak tahu lagi nak sertai parti mana. Sejak 2018, saya dan ahli kumpulan Estranged selalu membuat CSR ke kampung pendalaman sekitar kawasan Tambunan. Jadi, dah tiba masanya untuk saya bertanding pula. "Saya ada visi sepanjang tiga tahun sebelum pilihan raya seterusnya dan saya mahu lakukan yang terbaik untuk penduduk kampung terutamanya yang berdepan dengan masalah air, elektrik dan internet. "Selain itu, fokus saya juga kepada pendidikan untuk anak-anak muda. Saya nak pastikan generasi muda di perkampungan mendapat pendidikan yang lebih baik," kata Rich kepada mStar. Sebelum ini, Rich memuat naik poster di Instagram miliknya yang memberitahu dia sudah memulakan kempen untuk menjadi calon wakil rakyat di negeri Sabah. Dalam dunia seni pun, saya perlu berhadapan dengan komen negatif. RICH VOKALIS ESTRANGED Kumpulan Estranged turut dianggotai Solihuddin Hormat atau Din dan Nor Hanafi Noor Hadi. Dalam pada itu, Rich menegaskan dia tidak akan meninggalkan karier seni walaupun selepas ini akan sibuk dengan dunia politik. "Biarpun saya sudah menceburi bidang politik tapi ia tidak bermaksud yang saya akan keluar daripada Estranged. Malah, ahli kumpulan saya yang lain juga akan turut membantu saya. Kiranya ini adalah perjalanan Estranged. "Mesti akan ada pihak yang fikir dunia muzik dan politik berlainan tapi saya nak buat sesuatu yang unik dan berbeza dimana dua bidang ini boleh berjalan seiring. Rich terus bersama Estranged biarpun sudah ceburi dunia politik. "Saya dan rakan-rakan akan pergi ke kawasan perkampungan untuk berkenalan dengan penduduk di sana. Saya tak nak ada pihak kata orang undi saya sebab artis. "Saya nak orang kenal bukan setakat sebagai artis saja tapi boleh buat kerja dan saya juga nak memahami keadaan mereka serta apa yang mereka perlukan," ujarnya. Sementara itu, suami kepada bekas pelajar Akademi Fantasia musim keempat iaitu Velvet ini sudah bersedia dengan sebarang kritikan dan komen negatif. "Saya dah bersedia dengan kritikan atau komen negatif. Dalam dunia seni pun, saya perlu berhadapan dengan komen negatif. Dah lebih 10 tahun saya dalam bidang seni, jadi dah tahu macam mana nak kawal tekanan dengan perkara itu. "Apa yang penting, saya akan buat yang terbaik dan kena kuat sebab bila dah jadi wakil rakyat nanti, rakyat adalah keutamaan," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!