suria

Sandra Dianne sering rasa tak dihargai, ibu terkilan arwah tak tahu hal sebenar - “Semuanya terlambat, tapi syukur anak mama disayangi”

Ibu Sandra luah rasa sedih pada hari ulang tahun kelahiran ke-26 penyanyi itu pada Rabu.

TANGGAL 16 September sepatutnya menjadi hari ulang tahun kelahiran ke-26 Allahyarham Sandra Dianne yang meninggal dunia pada 11 September lalu.

Namun apakan daya apabila tarikh itu menjadi hari paling sayu buat ibunya, Nur Syakinah Abdullah yang masih bersedih dengan pemergian anaknya.

Syakinah mengakui perit melalui hari tersebut dengan kerinduan yang sukar untuk digambarkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi Sandra meninggal dunia selepas 6 hari bertarung nyawa di ICU

ARTIKEL BERKAITAN: Masih koma dan kritikal, ibu rayu pulangkan telefon bimbit Sandra Dianne - “Saat ini dia perlukan doa tulus ikhlas daripada peminat”

Malah, dia turut menyifatkan sepanjang hayat Allahyarham seorang anak yang baik dan sentiasa mendahulukan perasaannya.

Tambahnya lagi, penyanyi lagu Hey Kau itu juga seorang yang pemurah dan tidak boleh melihat kesusahan yang dilalui orang lain.

"Tiada kata-kata yang dapat mama gambarkan, perasaan kehilangan mama pada hari ulang tahun kelahiran kakak. Sakitnya meratapi kehilangan, peritnya menahan sebak di dada teringatkan kakak, pedihnya kerinduan ini.

"Kakak anak mama yang taat, sering mendahulukan perasaan mama. Kakak takut jika melukakan perasaan mama meskipun kakak tidak melakukan apa-apa kesalahan.

"Kakak seorang yang pemurah dan sering luluh hati melihat orang lain susah. Kalau jumpa orang jual keropok kering kakak akan berhenti untuk beli sekalipun kakak tak perlu... alasan sebab kasihan. Mungkin hari tu belum ada orang yang beli jualannya... setelah kakak beli, kakak akan sedekahkan pula pada orang lain," ujarnya.

Sandra terlibat kemalangan pada 5 September lalu.

Syakinah menulis coretan di Facebook sempena ulang tahun Sandra yang ke-26 pada Rabu, 16 September.

Katanya, pihak keluarga sempat mengadakan majlis tahlil untuk Allahyarham di kediamannya pada Rabu.

Alangkah bahagianya sekiranya kakak sempat melihat semua ini sebelum kakak pergi.

NUR SYAKINAH

IBU SANDRA DIANNE

Sandra atau nama sebenarnya Alessandra Dianne Ampuria meninggal dunia pada 11 September lalu selepas enam hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya.

Allahyarham mengalami kegagalan fungsi otak akibat kemalangan jalan raya pada 5 September lalu.

Sandra ketika itu dalam perjalanan ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk latihan rancangan Big Stage 2020 terbitan Astro.

Jenazah Sandra dibawa pulang dan dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Kaulan, Tuaran Sabah.

Keluarga Allahyarham mengadakan majlis tahlil pada Rabu.

Sementara itu, Syakinah gembira ramai peminat dan rakan-rakan Allahyarham yang menunjukkan rasa kasih sayang terhadap arwah.

"Sungguh pun kakak sudah tiada hari ini, kasih sayang mereka (peminat dan rakan-rakan) buat kakak semakin hari semakin subur.

"Alangkah bahagianya sekiranya kakak sempat melihat semua ini sebelum kakak pergi. Betapa ramai yang menyayangi kakak, kerana selama hidup kakak, kakak sering merasakan diri kakak tidak disayangi,

"Mama sedih dan kesal kerana semuanya sudah terlambat, namun mama tetap bersyukur sekurang-kurangnya mama tahu anak mama di sayangi dan ramai juga yang mendoakan kakak" ujarnya

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain