ALBUM ManifestasiSITI2020 yang dilancarkan Julai lalu mendapat sambutan hangat sehingga melayakkan penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza menerima Anugerah Emas daripada syarikat rakaman Universal Music Sdn Bhd. ManifestasiSITI2020 yang terjual lebih 5,000 unit itu secara tidak langsung membuktikan album ke-18 berbentuk fizikal (CD) penyanyi itu masih relevan biarpun terpaksa bersaing dengan platform digital. ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza berdukacita... lagu baharu 7 Nasihat dicuri secara berleluasa - “Saya mohon hormati hak cipta!” “Saya bersyukur kerana di dalam era digital, album fizikal saya masih mendapat sambutan baik setelah empat bulan berada di pasaran. “Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan dan saya berharap agar jualan ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa, ” katanya. Album fizikal Siti masih terima permintaan peminat. Album ManifestaSITI2020 dijual menerusi SNP On Pay iaitu sistem pemasaran oleh Affiliate yang diwujudkan oleh Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn.Bhd. Ia memuatkan 11 buah lagu termasuk lagu Anta Permana yang pernah menduduki tempat ketiga dalam Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34). Turut dimuatkan dalam album ini adalah lagu 7 Nasihat yang dilancarkan pada Februari lalu, menyaksikan Siti Nurhaliza bergandingan dengan penyanyi duo Hip Hop, Kmy Kmo dan Luca Sickta. Selain itu, lagu Aku Bidadari Syurgamu yang terkandung dalam ManifestaSITI2020 juga berjaya tersenarai dalam carta radio dan carta platform digital. Bukan itu sahaja, video muzik rasmi Aku Bidadari Syurgamu berjaya mencapai lebih 10 juta tontonan sejak dimuatnaik di YouTube pada Julai lalu. Selain jualan secara fizikal, peminat juga boleh mendapatkan album tersebut menerusi platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer. Pada September lalu, Siti dinobatkan sebagai Malaysia’s Most Admired bagi kategori wanita oleh portal YouGov iaitu sebuah syarikat penyelidikan terkemuka di dunia yang mengumpul data dan maklumat hasil perkongsian pandangan dari 9.6 juta ahli mereka dari seluruh dunia. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!