suria

Adam Eiman tak pernah dapat pujian Hattan - “Susah bekerjasama dengan ayah, kami ada pendapat berbeza”

Adam cuba elak gunakan populariti bapanya, Hattan untuk berada dalam industri muzik.

MENJADI anak kepada penyanyi terkenal Datuk Hattan tidak memberi kelebihan kepada Adam Eiman untuk berada dalam industri seni tahah air.

Jelas Adam atau nama sebenarnya Adam Eiman Mohd Shukri Sahabuddin, 22, dia menceburi bidang muzik tanpa pengetahuan bapanya berikutan enggan dikatakan menumpang populariti.

ARTIKEL BERKAITAN: “Usaha ayah tanam lagu rock dalam jiwa saya tak menjadi” - Anak Hattan, Adam E kini penyanyi rap

Bagaimanapun, Adam meluahkan rasa syukur kerana bapanya sentiasa melindungi dan memberi tunjuk ajar tentang selok belok dunia seni.



Adam tahu Hattan akan sentiasa melindunginya.

"Saya tak pernah beritahu dia yang saya nak masuk dalam indutri muzik. Dia tahu sendiri bila saya dah keluar lagu bersama kawan. Tapi dia okay saja saya dalam industri ini.

"Saya pun cuba elak untuk menggunakan populariti dia untuk masuk dalam dunia seni. Tapi sudah tentu ayah akan sentiasa ada untuk lindungi saya daripada perkara yang tidak baik dalam industri.

"Dia pun sentiasa beri tunjuk ajar pada saya. Dalam pada masa yang sama, saya tak nak gunakan populariti ayah," kata Adam kepada mStar.

Anak tunggal Hattan dan Datin Arianie ini sedang melanjutkan pelajarannya dalam bidang perhubungan awam dan acara di sebuah Universiti di ibu kota.

Kalau dengan ayah ini, macam takut sikit nak bercakap soal kerja.

ADAM EIMAN

PENYANYI

Berbeza dengan Hattan, Adam lebih cenderong kepada muzik hip hop biarpun sudah didedahkan dengan lagu-lagu genre rock sejak kecil.

Menerusi laporan mStar pada 17 Ogos tahun lalu, Adam berkata bapanya agak terkejut dengan pilihan muzik yang ingin dibawa, namun dia tetap memberi sokongan.

Sebelum ini, Adam dan Hattan pernah berganding suara menerusi lagu Perlukan Aku yang dilancarkan pada 6 September tahun lalu.

Dalam pada itu, Adam memberitahu dia mempunyai hasrat untuk bekerjasama dengan bapanya buat kali kedua namun menyedari dirinya masih perlu banyak belajar.



Adam menyedari ada banyak perkara yang perlu dipelajari sebelum bekerjasam lagi dengan bapanya.

Malah, Adam mengakui dia tidak pernah mendapat pujian berlebihan daripada bapanya kecuali lagu terbitannya berjudul Sakit dan Salahku nyanyian Yonnyboii.

"Ada perbincangan nak bekerjasama dengan ayah lagi tapi bila nak bekerja dengan ayah ini lain sikit... sebab kami mempunyai pendapat yang berbeza.

"Tapi kalau dengan kawan sendiri macam Yonnyboii, kami boleh saling tegur menegur kalau ada salah. Kalau dengan ayah ini, macam takut sikit nak bercakap soal kerja.

"Sebenarnya bukanlah susah nak kerja dengan ayah tapi ada banyak lagi yang saya perlu belajar. Sebab ayah ini seorang yang tegas dalam membuat sesuatu.

"Saya tak pernah dapat pujian yang berlebihan daripada ayah. Cuma dia ada kata la lagu Salahku dan Sakit itu best. Memang dia tak beri pujian berlebihan," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain