suria

Lah Ahmad teruja dapat bekerjasama dengan Haqiem Rusli dan Aina Abdul - “Saya memang teringin nak berduet dengan artis baharu”

Lah teruja dapat kerjasama dengan Haqiem Rusli dan Aina Abdul.

PENYANYI Lah Ahmad teruja apabila dapat bekerjasama dengan penyanyi serta komposer muda iaitu Haqiem Rusli dan Aina Abdul dalam album terbaharunya berjudul Selamat Datang Cinta.

Menurut Lah atau nama sebenar Abdullah Ahmad, kerjasama itu terjalin apabila penyanyi lagu Tergantung Sepi itu bertemu dengannya secara peribadi dan menyatakan hasrat mencipta lagu baharu khas untuknya.

“Dalam album baharu ini, ada satu lagu ciptaan Haqiem Rusli berjudul Sejarah. Dia berjumpa saya sejak dua tahun lalu menyatakan hasrat mahu memberikan lagunya... akhirnya jadi kenyataan juga saat kami berjumpa awal tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Jejaka Voice of Men rasa ‘tak best’ dikatakan klon Lah Ahmad - “Lain kali kami elak jadi jelmaan V.E atau Ruffedge”

“Saya juga ada bergandingan bersama Aina Abdul dalam lagu Tunggu Kamu. Lagu itu ciptaan saya sepenuhnya. Saya memang teringin nak berduet dengan artis baharu. Dalam ramai penyanyi, tuah menyebelahi Aina.

“Seronok dapat bekerja dengan generasi baru. Maklumlah saya generasi lama. InsyaAllah, dua lagu ini antara karya yang akan saya ketengahkan selepas ini, ” katanya kepada mStar.



Lah teruja dapat bergandingan dengan generasi baharu.

Lah ditemui semasa pelancaran Konsert Inteam 20 Tahun yang diadakan di pejabat Inteam Records, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Lah merupakan salah seorang penyanyi yang akan membuat persembahan bersama kumpulan nasyid Inteam, Unic, Hijjaz, Zayne, Khai Bahar dan Exists.

Saya rasa lebih puas album yang boleh disentuh dan dirasa dengan tangan!

LAH AHMAD

PENYANYI

Konsert secara virtual itu akan dipancarkan secara langsung dari Warisan Hall Studio Sijangkang, Selangor pada 12 Disember depan.

Sementara itu, Lah yang mencipta nama menerusi kumpulan VE ini berkata dia memberanikan diri dengan mengambil risiko menerbitkan album secara fizikal.

Kata Lah, album yang mengandungi tujuh buah lagu itu akan dicetak sebanyak 1,000 keping untuk peminat yang mahukan sesuatu untuk dijadikan kenangan.



Lah (dua dari kiri) bersama Khai Bahar (dua dari kanan) dan kumpulan Inteam bakal anjurkan konsert bulan depan.

“Ikutkan memang nak buat sidang media fasal album fizikal ini. Tapi keadaan pandemik Covid-19 sekarang kita tahu tidak mengizinkan. Jadi saya terpaksa jual dan promosi guna medium media sosial seperti Instagram untuk menghebahkannya.

“Benar ada yang mungkin skeptikal kenapa masih nak keluarkan album fizikal ketika pasaran muzik tidak menentu. Tapi saya rasa lebih puas album yang boleh disentuh dan dirasa dengan tangan. Saya rasa lagi lebih keberkatan dengan cara begini.

“Mungkin saya jenis yang ‘old fashion’. Tapi tak mengapa. Saya okey... sambutan 1,000 cetakan pertama ini juga sudah hampir terjual kesemuanya. Itu sudah buat saya puas dan gembira.

“Saya rasa orang masih lagi mendengar lagu menerusi pemain cakera padat atau di dalam kereta ketika memandu. Jadi bukan masalah besar saya jual cara begitu.

“InsyaAllah saya akan pasarkan album ini secara digital juga kelak, ” ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain