suria

Muat naik 'cover' album lama, Noraniza Idris tunjuk bukti tak tiru topi Siti Nurhaliza - “Tahun 80-an lagi Kak Ani dah pakailah!”

Noraniza pernah menggunakan fesyen topi yang sama untuk muka hadapan albumnya sekitar tahun 80-an.

HAMPIR dua minggu berdiam diri, penyanyi Noraniza Idris akhir tampil 'bersuara' mengenai fesyen topi yang digayakan pada konsert minggu ketujuh Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7).

Menurut Noraniza, 52, dia sudah menggayakan topi seperti itu untuk muka hadapan albumnya berjudul Ingin Ku Sandar Harapan sekitar tahun 1988.

ARTIKEL BERKAITAN: Noraniza Idris ‘copy’ topi Siti Nurhaliza? Pereka aksesori ada jawapan - “Tak ada istilah siapa tiru siapa... fesyen begini dah ramai orang pakai”

Noraniza berkata, gaya itu hanya diulang pakai oleh penata gaya untuk persembahannya di pentas konsert GV7 namun diubah suai mengikut trend dan imej berhijab.



Noraniza tampil menjelaskan perkara itu di laman Instagram miliknya.

"Tahun 80-an lagi Kak Ani dah pakailah, siap buat cover album lagi. Cuma 30 tahun kemudiannya, stylish Kak Ani modenkan lagi saja dan sesuaikan dengan imej berhijab.

"Dah jangan bising-bising!" tulis Noraniza.

Sebelum ini, penampilan Noraniza menggayakan topi menggunakan material akrilik itu mengundang pelbagai komen dan usikan nakal daripada netizen.

Netizen di laman Twitter membuat perbandingan dua foto memperlihatkan Siti Nurhaliza dan Noraniza mengenakan topi daripada material serta rekaan hampir sama namun yang membezakan hanyalah warna.

Tahun 80-an lagi Kak Ani dah pakailah, siap buat cover album lagi.

NORANIZA IDRIS

PENYANYI

Ini kerana rekaan pada topi merah itu dilihat sama seperti fesyen yang pernah digayakan oleh penyanyi tersohor iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam video muzik (MV) lagu Siapa Tak Mahu.

Menerusi laporan mStar pada 23 November lalu, pereka fesyen Noraniza yang dikenali sebagai Nik Amri berkata penampilan penyanyi itu mengambil inspirasi daripada fesyen Latin.

Kata Nik lagi, topi yang dipakai penyanyi lagu Dondang Dendang itu juga merupakan rekaan Afiq K iaitu pereka aksesori daripada Arte de Narmi.



Netizen kata topi Noraniza sama seperti yang dipakai Siti Nurhaliza.

Dalam pada itu, rata-rata netizen di ruang komen perkongsian tersebut meminta agar Noraniza mengabaikan sahaja komen negatif.

"Netizen suka melaga-lagakan dan hangatkan sesuatu perkara. Tak penat ke kalian asyik mengecam dan mengutuk sana sini.

"Fasal topi pun kecoh, topi tu bukan ada cop mohor atau paten harta intelek.

"Buat tak tahu saja Kak Ani. Jalan terus. All the best Kak Ani minggu ini. Tak sabar nak tengok Chaiya-Chaiya," komen beberapa pengikut Noraniza di laman Instagram.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain