suria

Ibu hidap Alzheimer, Hafiz Zainal hilang tempat mengadu - “Rasa kehilangan... saya rindukan mak yang dulu”

Hafiz Zainal hilang tempat mengadu selepas ibunya jatuh sakit dan tidak sihat.

TERLALU merindui ibu tersayang, bekas peserta program Big Stage 2020, Dr Hafiz Zainal tampil dengan lagu baharu berjudul Rindu yang mengisahkan mengenai perasaannya sebagai seorang anak.

Hafiz atau nama sebenar Muhammad Hafiz Zainal, 28, berkata dia hilang tempat mengadu sejak ibunya disahkan menghidap penyakit Alzheimer pada tahun 2017.

“Lirik lagu ini adalah kisah benar saya. Semasa dalam Big Stage boleh dikatakan setiap hari saya menjadi latihan dengan Akim dan Stacy. Kami sentiasa bincang konsep persembahan. Nak dijadikan cerita, pada minggu pertama, saya mendapat dua markah. Diakui ia sangat menyedihkan buat saya. Akim dan Stacy yang ada bersama-sama dari awal melihat saya lalui kesusahan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dapat 2 markah, doktor gigi Hafiz Zainal terima komen ‘pedih’ Ajai dengan hati terbuka - “Dia juri, saya tak layak persoalkan apa dia cakap”

“Selepas konsert pertama itu, saya ke rumah Akim dan Stacy untuk latihan minggu kedua. Kebetulan Cikgu Syafi yang juga guru vokal program berkenaan menghubungi saya untuk bertanya dan menenangkan saya. Ketika itu saya terus menangis.

“Saya ada mak, tapi dia sudah tak berapa sihat jadi saya tak dapat nak mengadu. Cikgu Syafi pula saya sudah anggap macam mak, jadi saya lepaskan semua pada dia.

"Masa itu juga, Stacy ‘korek’ lebih banyak lagi cerita mengenai saya. Jadi lirik ini dihasilkan berdasarkan kisah kerinduan saya terhadap mak.



Hafiz rindu ibu.

“Dahulu ketika zaman sekolah apa sahaja saya mesti mengadu pada mak. Selepas mak disahkan menghidap Alzheimer, keadaan dirinya sudah tidak sihat. Apabila melalui detik sukar dan sedih sepanjang dalam Big Stage, saya tak dapat mengadu dengan mak. Jadi rasa kehilangan dan rindukan mak dulu, ” katanya.

Rindu terbitan Rhythm and Rhyme Entertainment (RNR) merupakan single kelima Hafiz sudah dilancarkan secara rasmi di semua platform digital sejak 6 November lalu.

Lagu itu merupakan ciptaan Hang Nadim, Bunga Cantik dan Freddy serta lirik oleh Bunga Cantik.

Saya bersyukur dapat menyertai Big Stage 2020, semakin ramai orang kenal dan sudah semestinya besar harapan saya agar single ini diterima baik.

HAFIZ ZAINAL

PENYANYI

Menariknya, muzik video rasmi lagu Rindu yang dilancarkan di saluran YouTube Rhythm & Rhyme Entertainment pada 27 November lalu adalah terjemahan daripada lirik lagu itu.

“MV ini adalah visual daripada lirik lagu Rindu. Jalan cerita turut memaparkan saya membuat panggilan dan berborak dengan mak dan ada juga diletakkan gambar mak.

“Adik saya yang baru menonton MV ini menangis, begitu juga dengan rakan-rakan. Malah, mereka tidak menjangka lirik dan jalan cerita dalam MV ini adalah mengenai mak saya.

“Alhamdulillah, maklum balas yang diberikan untuk lagu dan MV ini sangat baik. Banyak komen yang diterima mengakui suka dan dapat merasai kerinduan yang dilalui, ” katanya.



Rindu merupakan kisah hidupnya yang terlalu merindui seorang ibu.

Sementara itu, Hafiz berkata semasa proses rakaman dia membuat permintaan untuk merakamkan lagu dalam studio yang gelap.

“Bagi mendapatkan penghayatan, saya minta mereka untuk gelapkan studio. Saya mahu menyampaikan lagu ini dari lubuk hati yang dalam. Kiranya, lagu ini saya memang lepaskan sepenuhnya.

“Malah, daripada semua lagu yang dirakamkan sebelum ini, lagu Rindu betul-betul menyentuh jiwa saya kerana liriknya dibuat khas berdasarkan kisah benar saya.

“Ini adalah single kelima saya. Saya bersyukur dapat menyertai Big Stage... Alhamdulillah, semakin ramai orang kenal dan sudah semestinya besar harapan saya agar single ini diterima baik. Saya nak orang ‘feel’ nyanyian saya dalam lagu ini, ” ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain