suria

Noraniza Idris sebak, minta Ramli MS komen persembahan terakhir di GV7 - “Tok Ram tak bias... kalau dia kata bagus, maknanya bagus”

Noraniza menahan sebak ketika meminta Ramli MS memberi komen mengenai persembahan sepanjang GV7.

SELEPAS selesai menyanyikan lagu Empat Dara dan Hutang di pentas akhir Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7), penyanyi Noraniza Idris dilihat menahan sebak ketika meminta juri tetap Datuk Ramli MS memberi komen terhadap persembahannya.

Biarpun masih gah sebagai penyanyi irama Malaysia dan beberapa kali merangkul anugerah juara dan persembahan terbaik, namun Noraniza mengakui perasaan itu timbul kerana memikirkan dirinya sangat kedil berbanding bintang GV7 yang lain.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya nak tanya apa masalah dia dengan saya?” - Noraniza Idris ajak Michael Ang bersemuka, emosi terganggu baca komen negatif pengarah drama

Sebagai manusia biasa, penyanyi berusia 52 tahun ini tetap berasa sedih apabila menerima kecaman daripada orang luar sepanjang bertanding dalam program realiti tersebut.



Michael Ang puji persembahan duet Noraniza dan Aishah menerusi lagu Empat Dara.

"Bila kita bersama bintang-bintang GV yang hebat ini, saya selalu berasa diri sangat kecil dan saya tahu, saya ini hanya artis irama Malaysia sahaja dan perlu menyanyi pelbagai genre lagu.

"Selama 27 tahun tak pernah menyanyi lagu genre yang berbeza. Saya rasa ia satu proses pembelajaran yang orang luar tak tahu dan kadang-kadang saya rasa down. Saya dah kenal Tok Ram sejak saya mula ceburi bidang nyanyian.

"Tok Ram ini tiada bias... kalau dia kata kita bagus, maknanya baguslah. Tapi kalau dia nak hentam... dia hentam. Walaupun saya pernah menjadi juara dan dapat persembahan terbaik sebelum ini tapi tak sama dengan GV.

"Setiap minggu di GV saya dan rakan lain dapat tugasan yang berbeza dan belajar benda baharu. Bila orang luar kecam, kadang-kadang kita rasa sedih... biasalah sebagai manusia kita rapuh," katanya kepada mStar.

Yela, bila orang berpengaruh bercakap ini seakan-akan menarik orang lain bercakap benda tak elok.

NORANIZA IDRIS

PENYANYI

Noraniza berkongsi perkara tersebut ketika sidang media selepas usai konsert akhir GV7 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.

Dia yang menyampaikan lagu Empat Dara duet bersama penyanyi Aishah, Hutang dan Eh! (segmen battle dengan Ashira) mendapat tempat keempat dan membawa pulang RM20,000 serta trofi.

Sebelum ini, penyanyi lagu Dikir Puteri ini meluahkan rasa kesal dengan sikap penerbit dan pengarah Michael Ang yang memberi kritikan 'pedas' terhadap beberapa persembahannya dalam GV7.

Dalam pada itu, Noraniza memberitahu dia tidak menyimpan perasaan dendam terhadap Michael namun berpendapat pengarah drama Perempuan Tanpa Dosa tersebut sepatutnya menggunakan bahasa yang sesuai dalam memberi kritikan.

Menurut Noraniza, biarpun Azwan Ali atau Diva AA seorang yang lantang di laman sosial namun dia tidak kisah kerana sudah mengenali pengacara tersebut berbeza dengan Michael yang tidak dikenalinya.



Noraniza berpendapat Michael tidak sepatutnya menggunakan bahasa tidak elok untuk mengkritik.

"Sebenar saya tak ada apa masalah tapi dari segi perasaan... emosi itu memang ada. Yela, bila orang berpengaruh bercakap ini seakan-akan menarik orang lain bercakap benda tak elok... seperti mengumpat.

"Bahasa pun macam tak berapa manis. Saya pula tak biasa begitu dan selalu kita dah mengajar adab kepada pelapis baharu tapi tiba-tiba orang luar cakap tentang kita... dah la tak kenal kita tapi cakap tak semanis bahasa.

"Saya rasa tak sesuai la, sebagai rakyat Malaysia kita ada adab dan kesopanan. Saya tidak menyimpan dendam dengan Michael, tapi saya nak mengenali dia lebih dekat. Nak tahu dia sebenarnya siapa.

"Kalau macam Azwan Ali, saya tahu... walaupun dia bising dengan mulut macam itu dan tulis buruk pun saya kenal dia. Tapi saya tak kenal Michael, jadi saya nak mengenali dia secara peribadi," ujarnya.

Konsert akhir GV7 menyaksikan Cliff Umar sebagai juara, Muss selaku naib juara, Ayu Damit mendapat tempat ketiga, Linda Nanuwil (kelima), Oja (keenam) dan Ashira (ketujuh).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain