suria

Amir Masdi teruja masuk AJL35, ibu suruh potong rambut pendek - “Lagu saya bukan tak popular cuma orang tak tahu siapa penyanyinya”

Amir Masdi teruja lagu Kau Sakiti berjaya melangkah ke pentas AJL 35.

PERTAMA kali melangkah ke pentas berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL), penyanyi Amir Masdi meluahkan keterujaan apabila lagu nyanyiannya, Kau Sakiti layak untuk bertanding pada edisi ke-35.

Amir atau nama sebenarnya, Amir Syazwan Masdi, 24, berkata, ibunya juga cukup gembira sehingga meminta dia memotong rambut pendek sebelum membuat persembahan di pentas AJL 35 nanti.

ARTIKEL BERKAITAN: Samakan karier nyanyian macam ‘rumah teres’, Amir Masdi sedar diri kurang popular - “Belum naik macam Kinabalu, InsyaAllah one day

"Pastinya saya cukup teruja apabila pertama kali masuk Separuh Akhir Muzik Muzik dan lagu nyanyian terus terpilih dalam senarai finalis AJL 35.

"Saya akan cuba buat sehabis baik dan memberikan persembahan secara ikhlas, itu yang saya mampu buat.

"Mak sampai dah bagi cadangan suruh saya potong rambut untuk persembahan AJL 35 tapi saya masih fikir-fikirkan lagi sama ada nak potong atau kekalkan dengan imej sebegini," katanya kepada mStar.

Amir Masdi selesa dengan imej rambut panjang.

Sementara itu, Amir berkata dia tidak mengambil pusing komen negatif yang mengatakan Kau Sakiti tidak layak untuk melangkah ke AJL 35 disebabkan karya itu kurang dikenali berbanding lagu-lagu finalis lain.

"Lagu saya bukan tidak popular, cumanya orang tahu lagu saya tapi tidak mengetahui siapa penyanyinya. Walaupun macam itu situasinya, saya langsung tak terasa hati.

Mak sampai dah bagi cadangan suruh saya potong rambut untuk persembahan AJL 35.

AMIR MASDI

PENYANYI

"Bagi saya AJL adalah anugerah berprestij yang mengiktiraf karya-karya hebat komposer tanah air dan ia bukannya untuk mengukur tahap populariti lagu yang bertanding," katanya.

Kau Sakiti merupakan hasil ciptaan Faizal Tahir, Mike Chan, Mage dan Ezra Kong.

Amir Masdi berjanji memberikan persembahan terbaik pada malam AJL 35.

Selain Kau Sakiti, 11 lagu lain yang turut layak ke AJL 35 ialah Aku Bidadari Syurgamu nyanyian Aishah, Semalam (Aina Abdul), Hutang (Floor 88) 7 Nasihat (Shiha Zikir, Kmy Kmo, Luca Sickta), Eh (Zizi Kirana) dan Gundah (Ernie Zakri).

Turut layak, Gila (Kaka Azraff, Loca B, Noki), Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter), Belenggu Rindu (Datuk Jamal Abdillah dan Wany Hasrita), Hati (Hael Husaini) dan Peluang Kedua (Hael Husaini).

AJL 35 bakal berlangsung pada 7 Februari depan di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain