PENYANYI baharu Aidilia Hilda mengakui dia sendiri yang menghantar mesej secara peribadi di laman Instagram Aniq Suhair untuk 'melamar' pelakon drama Lelaki Lingkungan Cinta itu untuk terlibat dalam video muzik Tak Mau Mau. Menurut Aidilia, 26, dia memilih Aniq kerana meminati aktor itu selepas menonton program realiti Hero Remaja 2020. ARTIKEL BERKAITAN: Aniq Suhair mengaku rapat dengan anak Datuk Vida... seronok borak macam-macam topik - “Cik B gadis sweet dan sopan santun” Biarpun pada mulanya 'lamaran' itu ditolak gara-gara jadual padat namun Aidilia berasa gembira apabila Aniq menghubunginya semula dan bersetuju untuk bekerjasama. Aidilia memuji Aniq yang sememangnya mempunyai bakat dalam lakonan. "Saya memang nak lelaki yang pandai berlakon supaya memudahkan kerja. Saya memang tonton Hero Remaja dan Aniq salah seorang peserta kegemaran saya. Saya rasa, Aniq ini ada aura tersendiri. "Sebenarnya saya ada beberapa pelakon lain yang saya terfikir juga dalam masa sama saya DM Aniq di Instagram dan tak kenal pun dia secara peribadi, hanya tengok di program tersebut saja. "Saya dengan secara kekok... terus DM dia 'boleh tak, awak berlakon dalam MV saya'. Tak pernah saya buat macam itu sebab saya pun tak tahu nak hubungi dia macam mana. Pada saya, personaliti Aniq ini sangat kuat untuk menarik orang. AIDILIA HILDA PENYANYI "Pada mulanya, dia balas DM saya mengatakan dia tak free waktu itu tapi selepas itu tiba-tiba dia hubungi saya semula kata boleh pula," katanya kepada mStar. Video muzik lagu Tak Mau Mau kini sudah mencecah lebih 1 juta tontonan selepas dimuat naik di saluran YouTube sejak 16 November lalu. Dalam pada itu, Aidilia turut memuji Aniq yang memiliki bakat semula jadi dalam bidang lakonan biarpun pada mulanya pelakon baharu tersebut bukan pilihan pertamanya. Malah, Aidilia juga meluahkan rasa gembira apabila video muzik tersebut mendapat tontonan yang tinggi disebabkan peminat Aniq. Aidilia gembira video muziknya mendapat sambutan disebabkan peminat Aniq. "Sebenarnya Aniq adalah pilihan kedua saya dan pilihan pertama saya seorang pelakon baharu tapi alang-alang Aniq dah setuju, saya terus pilih dia. "Alhamdullillah... bekerja dengan Aniq sangat senang sebab dia pun memang semula jadi berbakat dalam bidang lakonan. Pada saya, personaliti Aniq ini sangat kuat untuk menarik orang. "Apa yang menggembirakan saya adalah peminat dia yang kuat. Sebenarnya, peminat dia juga yang tonton MV lagu saya itu sebab nak tengok dia," ujarnya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!