suria

“Ramai bertanya saya tak buat apa-apa? Allah!” - Siti Nurhaliza sedih tak boleh turun padang bantu orang kampung terkesan banjir

Siti hulur bantuan dari jauh meskipun tidak boleh turun padang melihat mangsa banjir di kampung halaman.

PENYANYI Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui turut bersedih dan berasa bimbang dengan perkembangan semasa banjir di kampung halamannya di Kuala Lipis, Pahang.

Dalam keadaan sedang sarat hamil, Siti berkata dia tidak boleh turun padang dan hanya mampu menghulurkan sumbangan dari jauh untuk mereka yang terkesan dengan bencana itu.

"Saya tidak dapat turun padang dan melihat sendiri kesukaran di Lipis khususnya, bukan tidak mahu tetapi keadaan saya tak mengizinkan. Meskipun ramai yang bertanya, apakah saya tidak berbuat apa-apa? Allah!

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza bimbang keadaan banjir di Pahang, doa keselamatan ibu dan ahli keluarga di kampung - “Ramai yang masih terkandas dekat bumbung-bumbung rumah”

"Tubuh saya mungkin tidak berada di sana tetapi doa dan juga usaha saya, usaha kalian semuanya sampai ke sana. Moga dipermudahkan buat kita semua.

"Bekalan barangan keperluan dihantar dari Kuala Lumpur kerana beberapa hari ini sukar mendapatkan bekalan yang cukup dari daerah sekitar di Pahang yang mengalami banjir. Semoga perjalanan team kami ke sana dipermudahkan Allah, fasa pertama dan moga dilapangkan terus rezeki untuk fasa seterusnya," katanya.



Siti hulur bantuan untuk mangsa banjir di Lipis.

Penyanyi lagu Kuasa Cintamu ini berkongsi luahan dan foto sumbangan yang dihulurkan menerusi laman Instagram pada Rabu lalu.

Dia menyerahkan bantuan berupa makanan dan minuman yang akan diedarkan kepada mangsa banjir disekitar kawasan Lipis, Pahang.

Mungkin saya tidak dapat turun padang seperti lazimnya untuk melihat sendiri keadaan banjir namun saya titipkan doa dan membantu apa yang termampu!

SITI NURHALIZA

PENYANYI

"Alhamdulillah. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat saya membesar. Jauh di mata, dekat di hati.

"Terus tabah, moga kita semua sentiasa di dalam lindungan Allah," tulisnya lagi.

Pada Selasa, isteri kepada usahawan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa ini meluahkan kesedihan apabila melihat sekolah lamanya hampir ditenggelami air dengan hanya bumbung sahaja yang kelihatan.



Siti tak boleh turun padang kerana sedang sarat hamil anak kedua.

"Bangunan kelas saya belajar hanya nampak sayup sahaja bumbungnya. Allah! Semoga usaha ini akan diberkati dan saya juga mengajak followers, rakan-rakan, alumni sekolah serta sesiapa saja yang mahu menyumbang bagi membantu meringankan beban sekolah akibat bencana banjir.

"Kala ini, dengan keadaan saya sekarang, mungkin saya tidak dapat turun padang seperti lazimnya untuk melihat sendiri keadaan banjir namun saya titipkan doa dan membantu apa yang termampu kerana memahami keadaan sukar buat semua mangsa banjir," tulisnya di Instagram.

Pada pagi Khamis, media tempatan melaporkan keadaan banjir di Pahang, Kelantan, Terengganu dan Perak bertambah buruk berikutan hujan lebat yang masih berterusan menyaksikan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri terlibat terus meningkat.

Di Pahang jumlah mangsa banjir terus meningkat melibatkan 24,257 mangsa yang ditempatkan di 281 pusat pemindahan di sembilan daerah negeri ini.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan daerah Temerloh mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 5,764 diikuti Maran (5,275), Kuantan (3,461), Lipis (2,551), Jerantut (2,455), Raub (2,182), Rompin (986), Pekan (859) dan Bera (724).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain