suria

“Saya tersinggung bila orang produksi yang saya kenal minta buka tudung” - Mia Sara sedih masih ada pihak tak hormat keputusannya berhijab

Mia tetapkan pendirian kekal berhijab meskipun diminta menanggalkan tudung.

SELEPAS mengambil keputusan bertudung sejak lima tahun lalu, pelakon Mia Sara mengakui tawaran lakonan semakin berkurangan sehingga ada yang menyangka dia tidak mahu lagi terbabit dalam industri seni.

Menurut Mia, 16, dia ada menerima beberapa tawaran lakonan, namun terpaksa menolak kerana pihak produksi memintanya menanggalkan tudung.

"Selepas saya pakai tudung memang tawaran kurang... ada yang saya terpaksa tolak sebab mereka minta saya buka tudung. Mungkin sebab itu orang ingat saya dah tak berlakon lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Mia Sara luah hasrat berhenti berlakon, mahu jadi bintang Youtube - “Saya dah penat dengan perkara tak masuk akal sekeliling kerjaya ini”

"Tiga tahun karier saya agak perlahan, tahun lepas saya aktif berlakon semula. Ingatkan orang dah faham dan hormat keputusan saya tapi rupa-rupanya masih ada yang minta saya buka tudung.

"Apa yang membuatkan saya lebih tertekan dan tersinggung apabila orang TV atau produksi yang memang kenal saya dan pernah ambil saya berlakon sejak kecil minta saya buka tudung, ” katanya kepada mStar.



Mia kecewa ada produksi minta tanggal tudung.

Mia ditemui semasa pelancaran produk baharu De’Xandra Youth Live Launch di sebuah hotel di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain Mia, empat bintang remaja popular iaitu Erissa Puteri, Nana Quemar, Kashika Selvam dan Kon Wen Wei turut dilantik sebagai duta body mist keluaran terbaharu De’Xandra.

Walau apa pun terjadi saya tak akan berhenti berlakon, saya dah masuk bidang ni sejak kecil, tak sanggup nak tinggalkan!

MIA SARA

PELAKON

Meskipun menerima layanan kurang baik selepas memilih untuk tampil berhijab, Mia berkata dia akan tetap istiqamah dengan penampilan menutup aurat itu.

Malah, dia juga sama sekali tidak akan meninggalkan karier seni kerana bidang ini sudah menjadi tempatnya membesar sejak berusia empat tahun lagi.



Mia tetap pendirian untuk bertudung dan terus berada dalam industri.

"Saya tetap istiqamah bertudung kerana saya pakai tudung bukan kerana dipaksa oleh sesiapa... saya memang nak pakai tudung! Itu kunci saya terus istiqamah dan sentiasa ingat niat kena betul.

"Walau apa pun terjadi saya tak akan berhenti berlakon, saya dah masuk bidang ni sejak kecil, tak sanggup nak tinggalkan. Tambahan pula dengan sokongan keluarga... saya akan terus berada dalam industri ini!

"Jadi tahun ini saya kena muncul dengan benda baharu supaya orang nampak saya masih dalam industri, insyaAllah saya sentiasa berpegang kepada soal rezeki yang Allah berikan, ” ujarnya.

Mia mengambil keputusan bertudung pada tahun 2016 selepas pulang menunaikan ibadah umrah.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain