suria

Awie tidur pukul 4 pagi teman isteri jaga anak, kekal nama awalan Putra Ahmad - “Kekok sikit... kali terakhir timang anak 11 tahun lalu”

Awie dan isteri teruja dengan kelahiran anak lelaki mereka pada Isnin lalu.

SEKALI lagi dikurniakan rezeki menimang cahaya mata di kala usianya kini sudah mencecah 53 tahun, Datuk Awie mengakui dia berasa sedikit kekok dengan keadaan itu.

Namun, perkara itu tidak menjadi halangan buat Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman untuk memberikan penjagaan terbaik buat cahaya mata keenamnya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Guna foto kepala Awie tapi badan orang lain demi lariskan produk - “Ganti rugi bukan isu utama tapi tak mahu orang ditipu”

Vokalis kumpulan Wings ini juga berkata dia akan mengekalkan tradisi nama Putra Ahmad untuk anak lelakinya yang baharu dilahirkan pada Isnin lalu.

"Saya akui sedikit kekok dengan kehadiran anak baharu sebab kali terakhir saya timang anak ialah 11 tahun lalu. Satu tempoh yang agak lama juga tu...

"Tapi tak mengapa sebab saya dah boleh ingat balik benda-benda jaga anak semua ini, ini pun saya tak cukup tidur sebab berjaga sampai 4 pagi teman isteri menyusu baby.

Awie bahagia dengan isteri dan anak-anak.

"InsyaAllah, untuk nama anak keenam ini saya kekalkan tradisi nama anak-anak lelaki saya mesti kena ada awalan Putra Ahmad. Setakat ini, saya dan isteri sudah senaraikan beberapa nama tapi belum ada keputusan nak pilih yang mana satu lagi," katanya kepada mStar.

Isteri Awie, Datin Sharifah Ladyana Syed Samsuddin, 34, selamat melahirkan cahaya mata lelaki di pusat perubatan swasta KPJ Ampang Puteri, Selangor pada petang Isnin.

Saya akui sedikit kekok dengan kehadiran anak baru sebab kali terakhir timang anak ialah 11 tahun lalu.

DATUK AWIE

PENYANYI

Ketika ditanya bila dia mahu menunjukkan wajah putera bongsunya itu, Awie berkata dia tidak akan menyorokkan wajah anaknya untuk tatapan peminat.

"Tidaklah saya nak sorok ke apa cuma saya nak bagi selesaikan satu-satu dulu, bagi isteri rehat dulu.

"Saya fikir biar anak ini matang dulu baru saya okay nak tunjuk kepada semua, insyaAllah nanti saya akan kongsikan (wajah anak)," katanya.

Awie dan Sharifah Ladyana mendirikan rumah tangga pada 7 Oktober 2016 di Songkhla, Thailand.

Sebelum itu, Awie pernah berkahwin dengan penyanyi dan pelakon Arni Nazira pada tahun 1998 dan dikurniakan dua anak perempuan iaitu Puteri Aleeya Antasha, 21, dan Puteri Aleefa Antasha, 19.

Selepas perkahwinan mereka gagal, Awie bernikah pula dengan Rozana Misbun yang juga merupakan adik kepada pelakon Haliza Misbun pada tahun 2006.

Awie dan Rozana memiliki tiga orang anak hasil daripada perkahwinan mereka, iaitu Putra Ahmad Merrah, 14, Putra Ahmad Rezzki, 13, dan Putri Qasseh Antasha yang kini berusia 11 tahun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegramda mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN

Artikel Lain