suria

Makcik Petir positif Covid-19, mohon doa diberi kesembuhan - “Saya tahu dia gelisah sebab dekat hospital nanti dia seorang sahaja, tak ada siapa dapat temankan”

Noryati cukup dikenali dengan nama panggilan Makcik Petir dalam kalangan peminatnya.

PELAKON veteran, Noryati Taib, 64, atau lebih dikenali sebagai Makcik Petir disahkan positif Covid-19.

Perkara itu dikongsikan oleh anak saudaranya yang juga penerbit dan pengarah, Shahrulezad Mohammeddin menerusi laman Instagramnya pada malam Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Roy masih di ICU, anak dan adik ipar pula disahkan positif Covid-19

Shahrulezad memuat naik video memaparkan Noryati sedang menunggu kedatangan ambulans untuk mengambilnya untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Makcik saya, Mak Uda Yati disahkan positif Covid-19. Video inin diambil semasa Mak Uda tengah tunggu ambulans datang ambil.

"Saya merayu pada semua peminat Mak Uda kesayangan ramai agar mendoakan kesembuhan dia dan semoga Allah tenangkan dia.

"Saya tahu dia tengah gelisah sebab dekat hospital nanti, dia seorang sahaja, tak ada siapa dapat temankan dia," katanya.

Noryati cukup dikenali dengan gelaran Makcik Petir dalam kalangan peminatnya selepas membintangi drama SinDerEla sekitar tahun 2007.

Saya merayu pada semua peminat Mak Uda kesayangan ramai agar mendoakan kesembuhan dia.

SHAHRULEZAD MOHAMMEDDIN

PENGARAH

Dia yang menetap di Johor kerap berlakon di bawah produksi penerbitan milik Shahrulezad iaitu Radiusone Sdn Bhd.

Perkongsian Shahrulezad di laman Instagramnya.

Dalam perkongsiannya itu, Shahrulezad turut menyatakan selain ibu saudaranya, sepupunya yang dikenali sebagai Ezzah juga disahkan positif Covid-19.

Bagaimanapun, Ezzah hanya menjalani kuarantin kendiri di rumah disebabkan hanya mengalami simptom ringan.

Pengarah drama Takdir Yang Tertulis itu juga mengharapkan agar orang ramai agar sentiasa menjaga diri agar dapat terhindar daripada dijangkiti virus Covid-19.

"Doakan sekali agar semua pesakit Covid-19 yang lain sama ada kenal atau tidak diberikan kesembuhan yang sama.

"Jaga diri, Covid sekarang dah berada di sebelah kita je," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain