suria

Ernie Zakri lancar 'Sinar Mata Hati' selepas dua tahun dirakam - “Lagu ini mencabar kerana bawa emosi yang berat”

Ernie memberi kredit kepada komposer dan penulis lirik dalam penghasilan lagu tersebut.

PENYANYI Ernie Zakri akhirnya berpeluang untuk melancarkan lagu berjudul Sinar Mata Hati yang sudah dirakam sejak dua tahun lalu pada Jumaat menerusi saluran YouTube.

Berkongsi mengenai proses menghasilkan lagu tersebut, Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri berkata komposer iaitu Halen Yap dan penulis lirik Roslen Fadzil menjadikan kerjasama antara mereka berjalan dengan lancar.

ARTIKEL BERKAITAN: Ernie Zakri dan Syamel masih belum ada tarikh dan lokasi kahwin yang sesuai - “InsyaAllah kami tak rahsiakan”

Biarpun sudah biasa mennyanyi dengan nada tinggi, namun penyanyi berusia 29 tahun ini mengakui lagu tersebut memberi cabaran yang berbeza kerana ia membawa emosi yang berat.



Ernie lancar lagu selepas dua tahun dirakam.

"Bagi proses menghasilkan lagu ini boleh diberikan kredit kepada komposer dan penulis lirik. Dalam masa sama, perjalanan rakaman lagu pula amat mudah sebab mendapat kerjasama baik daripada mereka.

"Saya pernah berkerjasama dengan Halen Yap, tapi bukan dalam studio. Selalu kalau dia menjadi pengarah muzik untuk program. Dengan Abang Slen pula ini kerjasama pertama kami.

"Proses rakaman lagu juga cukup mudah apatah lagi ketika itu saya juga sibuk menjalani penggambaran drama Suri Katriana dan dalam masa sama kena merakamkan lagu ini. Apa boleh dikatakan, ia pengalaman sangat berharga.

Sama seperti dalam drama, lirik lagu ini juga menceritakan bagaimana ia penuh dengan dendam.

ERNIE ZAKRI

PENYANYI

"Lagu ini agak mencabar walaupun tidak bernada tinggi atau memerlukan teknik vokal yang susah, tapi lebih kepada emosi yang agak berat. Bagi saya itu satu cabaran juga," katanya.

Selepas dua tahun, lagu ciptaan Halen Yap dan lirik oleh Roslen Fadzil itu akhirnya dilancarkan secara rasmi pada Jumaat sekali gus merealisasikan impian peminat yang ingin mendengari setelah sekian lama.

Dalam pada itu, Ernie yang juga finalis Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35) memberitahu single tersebut merupakan lagu runut bunyi drama lakonan pertamanya berjudul Suri Katriana yang ditayangkan pada 2019.



Single tersebut merupakan lagu runut bunyi drama lakonan pertama Ernie pada 2019.

Menurut bakal isteri kepada penyanyi Syamel ini, lirik lagu tersebut juga sama seperti watak lakonannya sebagai Suri dalam drama tersebut.

"Lagu ini merupakan lagu tema drama lakonan saya iaitu Suri Katriana. Ini adalah drama pertama lakonan saya dan membawakan watak Suri. Ketika menjadi Suri, dia seorang gadis lemah lembut.

"Sama seperti dalam drama, lirik lagu ini juga menceritakan bagaimana ia penuh dengan dendam. Dia tahu dirinya salah, tapi tetap berdendam. Begitu juga dalam lirik lagu ini.

"Saya tertarik dengan korus, walaupun dia melakukan kesalahan tapi dia minta maaf. Cuma hatinya penuh dendam. Ini sedikit sebanyak mengenai lagu ini. Paling menarik saya berlakon dalam cerita ini dan menyanyikan sendiri lagu tema," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain