suria

Hampir setahun pemergian Ashraf Sinclair, BCL cerita detik akhir sebelum suami disahkan meninggal dunia - “Dalam fikiran saya cuma kata… kalau awak nak pergi, pergilah”

BCL kongsi momen terakhir mengetahui suaminya, Ashraf Sinclair disahkan meninggal dunia.

HAMPIR setahun pemergian pelakon Ashraf Sinclair, isterinya yang juga penyanyi Bunga Citra Lestari berkongsi detik-detik terakhir sebelum suami tercinta disahkan meninggal dunia.

Semasa menemui Ashraf tidak sedarkan diri, Bunga berkata firasatnya kuat mengatakan bahawa suaminya itu sudah tiada, namun dia dan anaknya Noah Sinclair tetap berkeras mahu membawa ke hospital.

"Seorang teman saya telefon dan saya kata macam Ashraf dah tiada... Noah kata Mummy jangan cakap begitu! Kita tak tahu jadi kita terus ke hospital.

ARTIKEL BERKAITAN: 10 bulan pemergian Ashraf Sinclair, Bunga Citra Lestari ditanya adakah bakal kahwin lagi? - “Setiap hari menangis dan sekarang masih menangis lagi...”

"Noah tanya... hospital boleh tolong tak? Saya kata kalau masih boleh, mesti boleh. Sampai di hospital, doktor juga lihat saya dan kata dia tak ada, tapi mereka mahu terus cuba (beri pertolongan)," katanya.

Bunga atau lebih mesra disapa BCL berkongsi mengenai perjalanan terakhir arwah suaminya itu menerusi saluran YouTube miliknya It’s Me BCL pada Sabtu.

Bunga berkongsi momen terakhir pemergian suami di laman YouTube.

Penyanyi lagu Cinta Sejati ini ditemubual oleh Daniel Mananta dan rakaman itu dimuat naik dalam beberapa siri program diberi judul #LoveStory di laman tersebut.

Selepas doktor memaklumkan Ashraf tidak dapat diselamatkan, Bunga berkata dia menerima berita kematian itu dengan hati terbuka.

Saya pergi ke anak saya, saya tak menangis! Saya cuma kata... Noah daddy dah tak ada. Saya minta maaf!

BUNGA CITRA LESTARI

PENYANYI

"Saya dah tahu! Saya dapat rasakan semasa menemui Ashraf di tempat tidur saya sudah tahu. Di dalam fikiran saya cuma berkata... kalau awak nak pergi, pergilah saya baik-baik sahaja.

"Jika itu terbaik untuk dia pergilah! Sampai di hospital, terus doktor kata... sudah tiada," ujarnya.

Dalam pada itu, Bunga berkata perkara paling mencabar apabila perlu memberitahu Noah mengenai pemergian bapanya itu.

Kematian Ashraf bagaikan satu mimpi buat BCL dan anaknya, Noah Sinclair.

"Saya pergi ke anak saya, saya tak menangis! Saya cuma kata... Noah daddy dah tak ada. Saya minta maaf, tak ada apa yang boleh kita buat, mereka dah cuba.

"Dia tanya... jadi siapa yang akan teman mummy kalau mummy ada business trip lagi, kalau daddy dah tak ada? Itulah perkataan pertama yang difikirkan.

"Dia tahu ini akan terjadi tapi mungkin tak menyangka berlaku dalam waktu yang dia masih kecil," katanya yang mengakui kehidupannya berubah dalam sekelip mata.

Pada 18 Februari tahun lalu, Ashraf, 41, menghembuskan nafas terakhir di sebuah pusat perubatan di Jakarta, Indonesia kira-kira pukul 4 pagi kerana serangan jantung.

Ashraf meninggalkan isteri dan seorang anak lelaki bernama Noah Aidan Sinclair yang kini berusia 10 tahun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain