suria

Selepas 'Neraca' bersama Jamal Abdillah, Luca Sickta dan Kmy Kmo mahu kolaborasi dengan penyanyi 'A list' pula - “Kami mahu habiskan dahulu senarai legenda”

Luca dan Kmy teruja dapat bekerjasama dengan Jamal Abdillah.

SELEPAS bekerjasama dengan Datuk M Nasir dan Datuk Seri Siti Nurhaliza, gandingan duo rapper Kmy Kmo dan Luca Sickta kini tampil pula dengan lagu duet bersama penyanyi legenda iaitu Datuk Jamal Abdillah berjudul Neraca.

Luca atau nama sebenarnya Shameer Ashraf Shahruddin meluahkan rasa syukur apabila impian untuk berkongsi karya dengan penyanyi legenda itu tercapai.

ARTIKEL BERKAITAN: Kmy Kmo, Luca Sickta sindir golongan penunggang agama dalam Zuhud - “Semakin ramai yang bertopeng”

Akui Luca yang juga seorang komposer, pada mulanya dia dan Kmy menyangkakan penyanyi berusia 61 tahun itu bersikap seorang 'diva' namun rupa-rupanya tanggapan mereka salah.



Luca dan Kmy sudah lama simpan niat untuk bekerjasam dengan Jamal.

"Ketika Kmy buat rakaman demo lagu ini dia menyanyi ala suara Datuk Jamal. Malah, dari awal lagi memang sudah pasang niat alangkah menarik jika dia dapat menyanyikan lagu ini. Alhamdulillah, rezeki kami... dia bersetuju.

"Awalnya, muzik lain tapi selepas Datuk Jamal memberikan persetujuan kami terus tukar dan masukkan elemen ghazal. Kami berasakan muzik tradisional ini tidak boleh dilupakan oleh generasi baharu walaupun ia dipersembahkan dalam versi moden.

"Sepanjang proses rakaman, Datuk Jamal sangat mengalu-alukan kami dan ingatkan dia seorang legenda yang ‘diva’, sebaliknya dia sangat mudah bekerjasama, profesional dan merendah diri. Sikapnya tidak membuatkan kami rasa takut dan segan," katanya.

Kami mahu habiskan dahulu senarai legenda.

LUCA SICKTA

PENYANYI & KOMPOSER

Masih mengekalkan genre hip hop dengan gabungan muzik ghazal dan reggae, single tersebut sudah dihasilkan sejak 2018 dan merupakan kesinambungan daripada lagu Zuhud (duet bersama M Nasir) yang dilancarkan pada Disember 2019.

Sebelum ini, gandingan Luca dan Kmy bersama Siti Nurhaliza menerusi lagu 7 Nasihat mendapat kejayaan sehingga melayakkan mereka ke pentas Anugerah Juara Lagu yang ke 33 pada 14 Mac depan.

Dalam pada itu, Luca memberitahu mereka sudah lama menantikan peluang untuk bekerjasama dengan beberapa penyanyi legenda yang lain.



Luca dan Kmy pernah bekerjasama dengan M Nasir menerusi lagu Zuhud.

"Kami sudah menunggu lama peluang sebegini sebab dari zaman sekolah lagi sudah menghasilkan muzik. Sejak itu kami bercita-cita nak bekerjasama dengan penyanyi legenda. Kami sudah ada senarai nama penyanyi-penyanyi itu.

"Bukan nak bekerjasama dengan penyanyi legenda yang bergelar Datuk saja, tapi ia lebih kepada ingin merealisasikan impian. Kami mahu habiskan dahulu senarai legenda.

"Setakat ini kami sudah selesai dengan genre yang diwakili setiap legenda itu. Tinggal lagi genre rock pula. Insya Allah, selepas itu baru kami ke senarai penyanyi ‘A list’ pula.

"Kami sudah ada lagu dan senarai nama penyanyi. Dalam masa sama, kami juga akan buat projek bersama penyanyi baharu yang mempunyai bakat dan vokal bagus," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain