suria

Here Comes July sanjung pengorbanan wanita dalam lagu Juwita - “Mereka tak pernah berkira, penat atau beri alasan”

Here Comes July turut dedikasikan lagu Juwita buat petugas wanita barisan hadapan.

MENGHARGAI pengorbanan serta jasa wanita, kumpulan muzik indie tempatan, Here Comes July (HCJ) mengangkat tema tersebut menerusi lagu terbaharu mereka berjudul Juwita.

Vokalisnya, Wan Lukman berkata mereka cuba membawa kelainan dan Juwita menepati ciri-ciri tersebut yang lari daripada single Malam Hari yang diterbitkan pada dua tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan disingkirkan, VE hanya beri ruang Damian Mikhail selesaikan hal peribadi - “Situasi yang dihadapinya melambatkan pergerakan kumpulan”

"Idea untuk lagu Juwita ini tercetus lebih kurang setahun yang lalu. Juwita dalam takrifan kami adalah perwakilan terhadap seluruh wanita yang wujud dalam hidup kita.

"Tidak kira sama ada ibu kita, teman wanita, kakak atau sesiapa sahaja yang digelar wanita... dialah Juwita. Juwita yang tak pernah berkira, tak pernah penat dan tak pernah beri alasan.

Here Comes July ditubuhkan sejak tujuh tahun lalu.

"Selain ditujukan untuk seluruh wanita secara amnya, lagu ini didedikasikan khas buat barisan hadapan wanita kita. Mereka tidak henti bekerja keras demi negara namun pada masa sama masih bertugas tanpa putus asa untuk keluarga, ” katanya kepada mStar.

Selain Lukman, HCJ turut dianggotai oleh Arfan selaku gitar utama, Adam (gitar ritma), Haziq (gitar bass) dan Irfan (pemain dram).

Tidak kira sama ada ibu kita, teman wanita, kakak atau sesiapa sahaja yang digelar wanita... dialah Juwita.

HERE COMES JULY

BAND INDIE

Juwita merupakan hasil ciptaan bersama kesemua ahli kumpulan HCJ manakala susunan muziknya pula oleh Taja.

Menurut Lukman, idea menulis karya tersebut diperolehi ketika mereka 'terkurung' dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

"Biasanya idea tercetus tanpa dirancang. Inspirasi melodinya tercetus semasa seluruh anggota kami tengah main game dalam talian semasa PKP pertama.

"Selepas itu, HCJ bertukar idea dan pandangan daripada awal pagi hingga ke lewat malam setiap hari.

"Atas tunjuk ajar dan nasihat Taja, terhasillah susunan yang paling menusuk kalbu untuk Juwita, ” katanya.

Juwita kini sudah boleh didapati di semua aplikasi penstriman muzik.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain