suria

Shiha Zikir lega tiada lagi pihak pertikai kemampuannya bawa lagu Siti Nurhaliza - “Mereka dah boleh terima saya bawa lagu 7 Nasihat ikut cara tersendiri”

Kepercayaan yang diberikan Siti Nurhaliza akan dilaksanakan sebaik mungkin oleh Shiha Zikir.

PENYANYI Shiha Zikir tidak menafikan dirinya pernah dipertikaikan banyak pihak apabila diumumkan sebagai pengganti kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu 7 Nasihat dalam saingan peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik 35 (SFMM35) November tahun lalu.

Namun kecaman itu tidak berpanjangan apabila Shiha atau nama sebenarnya, Nurshiha Mohd Zikir, 34, akhirnya berjaya membuktikan dirinya juga boleh menyanyikan lagu tersebut dengan baik mengikut acuannya sendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Shiha Zikir ‘terkena’ lagi! Jumlah tontonan video muzik di YouTube ‘ghaib’ - “Ia berlaku dengan kerap”

Menurut Shiha, kini ramai yang sudah membuka mata dan memberikan sokongan terhadapnya bagi membawakan lagu nyanyian bersama Kmy Kmo dan Luca Sickta pada malam berprestij Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35) yang bakal berlangsung pada 14 Mac ini.

"Alhamdulillah, sekarang saya tidak dapat lagi komen-komen yang mempertikaikan kebolehan saya untuk menggantikan Siti Nurhaliza dan saya memang sangat berbesar hati apabila dipelawa sekali lagi oleh Siti.



Shiha beraksi di pentas SFMM 35 pada November tahun lalu.

"Memang sebelum buat semi final hari itu, ramai yang pertikaikan kenapa saya dipilih, namun bila lihat persembahan saya, baharu mereka boleh terima cara saya bawakan lagu itu mengikut gaya sendiri.

"Saya memang sangat berharap tiada lagi yang banding-bandingkan saya dengan Siti, sebab Siti memang dah cukup hebat, siapalah saya jika nak dibandingkan dengan Siti," katanya kepada mStar.

Alhamdulillah, sekarang saya tidak dapat lagi komen-komen yang mempertikaikan kebolehan saya untuk menggantikan Siti Nurhaliza.

SHIHA ZIKIR

PENYANYI

Ketika ditanya mengenai persiapannya menjelang AJL 35, Shiha menjelaskan buat masa ini dia masih belum berpeluang untuk berlatih bersama rakan gandingannya, Kmy Kmo dan Luca Sickta disebabkan terikat dengan komitmen penggambaran drama.

"Sekarang saya tak sempat lagi nak berlatih dengan mereka tapi nanti memang saya kena curi masa juga untuk jumpa mereka.

"Kalau diikutkan memang saya tiada masa rehat sehingga menjelang AJL 35, harap-harap saya dapat berikan yang terbaik nanti.



Shiha berjanji memberikan persembahan terbaik pada pentas AJL 35.

"Rancangannya, kalau boleh kami nak hidupkan suasana tradisional tapi SOP hanya membenarkan enam orang sahaja berada di atas pentas pada satu-satu masa, kami penyanyi sahaja dah tiga orang... itulah cabarannya.

"Tapi tak mengapa sebab kami dah ada plan B yang lebih kurang, kena nantikan kelainan apa yang akan kami bawakan nanti," katanya.

7 Nasihat merupakan hasil gubahan Kmy Kmo dan Luca Sickta akan bersaing dengan 11 lagu lain iaitu Semalam nyanyian Aina Abdul, Gila (Kaka Azraff, Noki, Loca B), Hutang (Floor88) dan Aku Bidadari Syurgamu (Aishah).

Turut bertanding pada acara itu Kau Sakiti (Amir Masdi), Belenggu Rindu (Wany Hasrita, Datuk Jamal Abdillah), Gundah (Ernie Zakri), Eh (Zizi Kirana), Peluang Kedua (Nabila Razali), Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter) dan Hati (Hael Husaini).

AJL 35 akan bersiaran langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam tanpa kehadiran penonton selain mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain