INSIDEN terkucil di pentas Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) tidak membuatkan penyanyi Nabila Razali patah semangat atau serik untuk meneruskan kerjaya sebagai penyanyi. Malah, Nabila atau nama sebenarnya, Nur Nabila Razali, 29, berkata, dia juga tidak menolak untuk bertanding di pentas berprestij itu sekali lagi jika ada lagunya tercalon. ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Sindir Nabila Razali bazirkan peluang di pentas AJL35, Hafiz Hamidun mohon maaf jika terasa - “Sebagai peminat lagu itu, saya cuma luah kekecewaan... itu saja” "Insiden itu bukan titik noktah untuk saya berhenti daripada perjuangan dalam industri ini sebab menyanyi memang perkara yang saya suka buat. Saya buat ini pun adalah demi keluarga dan juga diri sendiri. Nabila menggayakan pakaian tradisional masyarakat Sarawak pada gimik pelancaran produk kek lapis Big Mouth X Nabila Razali pada Rabu. "Tipulah kalau cakap saya tidak menangis, memang saya menangis lepas buat persembahan dan sehari selepas AJL 35 memang saya habiskan masa untuk lepaskan semua kesedihan itu dan kemudian bangkit kembali, apa-apa pun hidup mesti diteruskan," katanya kepada mStar pada malam Rabu. Sebelum ini, kenyataan penyanyi lagu Peluang Kedua di laman sosialnya berbunyi 'but i think, this is it' (saya rasa cukuplah) menimbulkan persoalan netizen apabila dikatakan seolah-olah mahu meninggalkan industri seni akibat tidak tahan dengan kecaman pelbagai pihak. Nabila ditemui pada majlis pelancaran produk kek lapis Big Mouth X Nabila Razali yang berlangsung di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur pada Rabu. Apa yang saya kesal ialah tak sangka orang yang mencari rezeki dalam bidang yang sama turut berbual tentang benda negatif (fasal saya). NABILA RAZALI PENYANYI Sementara itu, Nabila turut meluahkan rasa sedih apabila terdapat rakan artis yang memperkecilkan kemampuannya dengan mengkritik secara terbuka kesilapan yang dilakukannya pada malam Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL 35) pada 14 Mac lalu. Menurut Nabila atau nama sebenarnya, Nur Nabila Mohd Razali, 29, insiden yang berlaku itu banyak memberi pengajaran kepada dirinya dalam menilai seseorang kawan atau lawan. "Sebagai seorang manusia biasa, kita tidak boleh kawal apa yang akan berlaku... saya dah berlatih tapi insiden itu dah pun terjadi dan ia di luar kawalan saya. "Apa yang saya kesal ialah tak sangka orang yang mencari rezeki dalam bidang yang sama turut berbual tentang benda negatif (pasal saya) sedangkan kami berkongsi periuk nasi yang sama. "Tetapi sekurang-kurangnya apabila jadi insiden macam ini, ia mengajar saya untuk tahu yang mana kawan dan yang mana lawan saya. Ada yang tidak mengenali saya tapi becakap seolah-olah mengenali saya daripada kecil... benda itu tidak manislah sebab kalau kita nak bercakap pasal orang, kita kena mengenali orang itu terlebih dahulu," katanya. Nabila akui gugup ketika membuat persembahan di pentas AJL 35. Walaupun menyedari dirinya dikutuk sesetengah pihak dalam industri, namun Nabila mengambil pendekatan enggan bermusuh dengan sesiapa sebaliknya hanya ingin meneruskan kerjayanya seperti biasa selepas ini. "Saya tiada isu dengan orang yang kritik saya sebab saya tidak ada buat apa-apa (tidak baik) pada orang dan selagi orang tak kacau periuk nasi saya, saya okey sahaja. "Cuma itulah saya nak pesan, jangan kita mencurahkan lagi minyak ke dalam api yang membara, sebab kita semua sama-sama cari rezeki dalam industri ini. Kita sepatutnya beri semangat, bukannya menjatuhkan semangat orang lain," ujarnya lagi. Minggu lalu, penyanyi Hafiz Hamidun memuat naik status sindiran terhadap Nabila yang dianggap telah membazirkan peluang apabila nyanyiannya terkucil di bahagian korus ketika mendendangkan lagu Peluang Kedua ciptaan Hael Husaini dan MFMF di pentas AJL35. AJL 35 menobatkan lagu Gila nyanyian Kaka Azraff, Noki dan Loca B sebagai juara, manakala Semalam nyanyian dan ciptaan sepenuhnya oleh Aina Abdul di tangga kedua dan lagu duet Wany Hasrita bersama Datuk Jamal Abdillah berjudul Dibelenggu Rindu di tempat ketiga. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!