suria

Tok Ram syukur sempat tengok anak perempuan naik pelamin, janji tak ganggu rumah tangga - “Biarlah dia dengan kehidupan baharu”

Tok Ram enggan mencampuri urusan kehidupan baharu anaknya, Nadiah bersama suami.

PENGARAH muzik terkenal, Datuk Ramli MS melahirkan rasa syukur apabila masih diberikan kesihatan yang baik untuk melihat anak perempuannya iaitu Nadiah Ramli berkahwin pada 21 Februari lalu.

Menganggap setiap manusia akan melalui fasa yang sama, Ramli atau lebih mesra disapa sebagai Tok Ram berjanji untuk tidak mencampuri kehidupan baharu puterinya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Alyah, Ramli MS mula dalami ilmu agama demi jaga perkahwinan - “Kita berubah di kedua-dua pihak, rumah tangga ada up and down”

"Kita semua akan lalui fasa berkahwin, ada anak, dapat menantu, cucu, sakit dan meninggal dunia. Itu semua adalah sebahagian daripada kehidupan.

Tok Ram bersama isteri, Alyah (kanan) ketika majlis pernikahan anaknya iaitu Nadiah dan Taufik Nazri.

"Secara peribadi, saya sangat bersyukur kerana dapat lalui fasa itu dengan dikurniakan kesihatan yang baik di usia sekarang... dapat tengok anak berkahwin.

"Saya tidak mahu campur dalam urusan kehidupan dia tapi saya tetap akan sokong sahaja apa yang dia nak. Selagi perkara itu tidak memerlukan saya... biarlah dia dengan kehidupan baharu," katanya kepada mStar.

Suami kepada penyanyi Datin Alyah ini ditemui ketika sidang media pelancaran program Panggung Tok Ram di Ladang Farm Fresh Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, baru-baru ini.

Nadiah adalah anak hasil daripada perkahwinan bersama bekas isteri, Jennifer Thompson, selain mempunyai seorang lagi anak lelaki bernama Najee.

Sekarang, ramai artis main ‘langgar’ saja benda-benda ini (jati diri dan tatasusila).

RAMLI MS

PENGARAH MUZIK

Dalam pada itu, pengarah muzik berusia 63 tahun ini bakal berkongsi ilmu dan pengalamannya selama 47 tahun dalam industri muzik menerusi program terbaharunya iaitu Panggung Tok Ram.

Mengakui ramai artis generasi baharu tidak mengutamakan jati diri dan tatasusila, Ramli berkata dia mahu mencipta masa depan yang lebih baik untuk barisan pelapisnya.

"Kalau saya tak gunakan segala ilmu yang ada untuk dicurahkan kepada bakat-bakat baharu yang akan menjadi pelapis tanah air ini, rugilah. Lagipun bukan boleh dibawa mati, betul tak?

"Memang saya nak latih bakat-bakat baharu supaya apabila mereka sudah bersedia muncul sebagai artis dalam dunia sebenar, mereka tidak akan lalui kejutan budaya.

Tok Ram mencari pelapis baharu industri seni.

"Sekarang, ramai artis main ‘langgar’ saja benda-benda ini (jati diri dan tatasusila). Saya dah lihat perkara ini selama berdekad-dekad dan ia nampaknya mula menjadi sesuatu yang normal.

"Kalau dibandingkan dengan zaman Allahyarham Tan Sri P Ramlee, disiplin mereka lebih padu terutamanya daripada segi pengurusan masa. Inisiatif ini adalah untuk masa depan industri kita," jelasnya.

Panggung Tok Ram ditaja oleh jenama susu terkemuka tanah air, Farm Fresh itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia berusia 13 hingga 18 tahun.

Tok Ram bersama-sama pihak wakil daripada Farm Fresh akan menilai kemampuan peserta dan akan menyalurkan peserta ke cabang seni yang sesuai dengan kemampuan mereka seperti muzik, lakonan atau pengacaraan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain