suria

Teka-teki status Haliza Misbun terjawab… sah jadi isteri jejaka Inggeris - “Ini adalah perkahwinan pertama saya”

Haliza tamatkan zaman bujang diusia 48 tahun.

PELAKON Haliza Misbun selamat bergelar isteri kepada jejaka British, Matthew John Rodgers, 48, dengan sekali lafaz di Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur, pada petang Sabtu.

Pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Cerai Masjid Ar-Rahah, Kampung Kerinchi, Ustaz Mohd Lazim Khairudin kira-kira pukul 5.25 petang.

Upacara akad nikah itu berlangsung dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan hanya dihadiri 50 tetamu sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: Jejaka Inggeris kekasih Haliza Misbun?

Pada majlis ringkas itu, Haliza menerima mas kahwin RM80, selain wang hantaran berupa sebuah rumah sebagai simbolik membina keluarga baharu.

Manakala Haliza pula menyerahkan lima dulang hantaran, berbalas tiga daripada pengantin lelaki.

Perkahwinan dengan duda anak satu yang juga perunding teknologi maklumat di sebuah syarikat antarabangsa ini sekali gus melenyapkan teka-teki status sebenar pelakon drama Cinderella itu.

Menurut Haliza dia menjalinkan hubungan persahabatan dengan Matthew sejak empat tahun lalu.

Suamilah lelaki pertama yang saya berani bawa bertemu keluarga selepas setahun menjalin hubungan cinta

HALIZA MISBUN

PELAKON

"Ini adalah perkahwinan pertama saya. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Selama ini, saya tahu ada yang sangsi dan berteka-teki dengan status saya. Ada juga yang menyangka saya sudah berkahwin.

"Namun, saya bersyukur apa yang dinantikan sekian lama sudah dimakbulkan dan kehadiran suami melengkapi hidup saya, insyaAllah.

"Suami sudah menetap di Malaysia, sejak sembilan tahun lalu. Kami berkenalan menerusi kawan, bertemu di sebuah restoran di Damansara Heights ketika saya bersama rakan menjadi detik awal perkenalan," katanya.

Menerusi kenyataan media yang diberikan mengenai perkahwinannya itu, Haliza berkata dia mula serius untuk mendirikan rumah tangga selepas melihat kesungguhan Matthew bertemu keluarganya.



Haliza terpikat dengan kesungguhan yang ditunjukkan Matthew.

"Suamilah lelaki pertama yang saya berani bawa bertemu keluarga selepas setahun menjalin hubungan cinta... saya yakin dengan kesungguhannya untuk menjalinkan hubungan serius. Malah, kami juga terbuka dalam pelbagai aspek.

"Mungkin disebabkan usia sebaya menjadi faktor keserasian dan saling memahami," katanya.

Sejurus selesai upacara akad nikah, pasangan mempelai diraikan di sebuah dewan di lokasi yang sama.

Haliza kelihatan anggun mengenakan busana rekaan teman baik, Sutex dan adiknya, Rozana Misbun menjadi pengapit.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain