suria

Berkawan rapat dengan Da’i Syed… Ryan Deedat terima teguran daripada pengikut, minta jauhkan diri

Ryan Deedat selesa berkawan dan bekerjasama dengan Da'i Syed dalam penghasilan lagu.

GARA-GARA berkawan baik dengan Da’i Syed, penyanyi Ryan Deedat mengakui turut menerima tempias kontroversi membabitkan pendakwah muda itu.

Menurut Ryan atau nama sebenar Sheikh Eamir Deedat, 29, dia menerima beberapa mesej dan komen daripada netizen di laman sosial yang memintanya tidak lagi menjalinkan persahabatan dengan selebriti itu.

"Memang ada yang mesej saya bertanya kenapa saya berkawan dengan dia... cerita hal yang bukan-bukan tentang Syed dan sebagainya, tapi saya okay sahaja baca pandangan netizen itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ryan Deedat dah mula ‘propa’, tak hilang selepas ‘Salimah’

"Memandangkan kami agak rapat sejak setahun lalu, jadi sedikit sebanyak memang memberi tempias kepada saya... bagi saya terpulanglah mereka nak komen apa pun sebab masing-masing ada pandangan sendiri.

"Saya rasa kalau mereka peminat saya, mereka lebih tahu keperibadian saya dan macam mana saya layan semua orang. Lagipun hubungan saya dengan Syed rapat kerana urusan kerja dan penghasilan lagu," katanya kepada mStar.



Ryan merupakan sahabat pertama yang menziarahi Syed selepas selesai tahanan reman.

Ryan Deedat ditemui semasa pelancaran single baharu, Kene Sidai nyanyiannya bersama Killa Driz dan Heil Nuan di Bubblebee, The Strand, Kota Damansara, Selangor, baru-baru ini.

Untuk rekod, Syed atau nama sebenar Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful berdepan dengan pertuduhan melakukan seks luar tabii dan mencabul seorang penuntut kolej swasta pada Oktober tahun lalu dan kes tersebut masih berjalan di mahkamah sehingga kini.

Meskipun Syed terpalit dengan kontroversi panas, Ryan berkata dia selesa dan senang menjalinkan kerjasama dengan pendakwah bebas itu.

Nak cakap saya menumpang populariti itu memang tidaklah... tapi saya akui ada segelintir netizen mula mengikuti saya di media sosial!

RYAN DEEDAT

PENYANYI

Dalam masa sama, dia turut menafikan dakwaan kononnya menumpang populariti penyanyi lagu Albi Nadak danYa Habib itu.

"Nak cakap saya menumpang populariti itu memang tidaklah... tapi saya akui ada segelintir netizen mula mengikuti saya di media sosial selepas mengetahui saya berkawan dengan Da’i Syed.

"Sebagai sahabat, sudah pasti dia ada berkongsi pengalaman dan perasaannya sebelum ini. Saya hanya mampu berikan sokongan dan kata-kata semangat... hal dalaman yang dilalui saya tak tahu, cuma saya selalu bercakap dengannya benda yang positif.

"Sebenarnya bukan Syed sahaja, saya kerap juga buat live di Instagram berkongsi perkara yang baik dengan pengikut menerusi program Sidai Talk. Kita nak beri semangat untuk semua supaya tak mudah berputus asa selepas diuji dengan pelbagai dugaan," ujarnya.



Ryan tampil dengan single baharu, Kene Sidai kolaborasi bersama dua penyanyi baharu; Killa Driz (kiri sekali) dan Heil Nuan (tengah).

Bercakap mengenai Kene Sidai, Ryan berkata idea penghasilan lagu ini tercetus selepas pertemuannya dengan penyanyi baharu Heil Nuan.

"Idea lagu ini muncul semasa saya dan Heil berada di studio dan kami ambil keputusan untuk buat lagu ini berlandaskan pengalaman sendiri dan rakan-rakan.

"Dalam kehidupan ini pasti kita ada rasa tak puas hati apabila terpaksa membuang masa untuk sesuatu perkara. Alhamdulillah sambutan pendengar semuanya baik-baik sahaja dan mereka suka lagu ini," katanya.

Kene Sidai merupakan hasil ciptaan Adam Armin, Yusuff Khan dan Heil Nuan, manakala lirik oleh Heil Nuan, Ryan Deedat, Killa Driz dan Adam Armin.

Lagu ini sudah dilancarkan di semua platform digital dan muzik video (MV) boleh ditonton di laman YouTube Indigital Music.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain