suria

[VIDEO] Nabil Ahmad mohon diberi kekuatan berdakwah kepada rakan artis - “Mereka semua baik tapi tiada kejayaan kalau tak ikut sunnah”

PERUBAHAN pengacara dan pelawak Nabil Ahmad yang kini berhijrah dengan mendekatkan diri kepada jalan Allah semakin diterima ramai.

Namun tidak kurang juga menganggap perubahan Nabil, 38, hanya bermusim memandangkan dia ditugaskan mengacara program keagamaan, N to N bersama rakan selebriti Neelofa Mohd Noor.

ARTIKEL BERKAITAN: Nabil dituduh tak ikhlas mohon maaf, sengaja sindir netizen - “Saya post video anak saya baca doa, tapi korang komen kata-kata kesat”

Menurut Nabil dia tidak dapat menutup mulut orang daripada berkata-kata namun meminta semua pihak mendoakan dia sentiasa istiqamah dengan penghijrahan tersebut.

"Saya hanya minta (netizen) terus doakan saya istiqamah sebab agama ini tidak bermusim. Kalau nak tahu, tawaran mengacarakan program agama ini datang selepas saya berhijrah.

"Kalau dia datang sebelum saya berhijrah, mungkin saya sendiri tak bersedia nak ambil job tersebut sebab bukan mudah nak kendalikan rancangan agama kalau kita tidak ada kefahaman tentang agama itu sendiri.

Nabil bersama duta Jakel Raya 2021, Shuk Sahar, Awal Ashaari, Scha Alyahya dan Lara Alana. FOTO: Low Boon Tat / The Star

"Salah satu sebab saya setuju buat program ini kerana nak jumpa ustaz-ustaz hebat agar mereka dapat terus doakan saya istiqamah dalam penghijrahan. Penghijrahan saya bukan bermusim sebab setiap masa sebenarnya kita kena dekat dengan agama," katanya kepada mStar.

Nabil ditemui pada majlis pelancaran kempen Ramadan Raya Jakel 2021 yang berlangsung di Jakel Mall, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Tidak seperti kebiasaan selebriti yang sudah berhijrah pasti mereka mengambil keputusan untuk meninggalkan bidang seni, namun hal ini berlainan pula buat Nabil.

Saya minta Allah beri saya kekuatan untuk buat dakwah kecil di kalangan rakan-rakan selebriti.

NABIL AHMAD

PENGACARA, PELAWAK

Nabil menganggap ia satu tanggungjawab buatnya untuk berdakwah kecil dalam kalangan rakan-rakan selebriti agar perkara itu dapat dikongsikan bersama mereka.

"Saya tiada persediaan untuk tinggalkan industri hiburan sebab saya ada sedikit rasa nak kawan-kawan artis tahu apa yang saya rasa (bila dah berhijrah).

"Saya minta Allah beri saya kekuatan untuk buat dakwah kecil di kalangan rakan-rakan selebriti. Mereka semua ini baik tapi tiada kejayaan kalau kita tidak ikut sunnah yang dianjurkan oleh Nabi.

Penghijrahan Nabil Ahmad turut disokong isteri, Zira Ayub.

"Saya bagi contoh Cristiano Ronaldo baik (suka berbuat amal) tapi selagi dia tak mengucap dua kalimah syahadah, tempat dia bukan di syurga," katanya.

Sementara itu berkongsikan tentang aktiviti Ramadannya pada kali ini, bapa kepada tiga cahaya mata ini berkata dia memperlahankan kerjaya seni bagi memberikan fokus dalam beribadah sepanjang bulan mulia ini.

"Untuk bulan puasa, saya fokus mengaji, baca Al-Quran dan hadiri majlis-majlis agama serta meraikan anak-anak yatim sepanjang bulan ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain