suria

Lama menyepi... akhirnya Ameng Spring muncul dengan lagu raya ciptaan peminat setia

Ameng Spring bekerjasama dengan peminat setianya, Rash menerusi lagu Aidilfitri Yang Ku Rindu.

SETELAH sekian lama tidak muncul dengan lagu baharu, penyanyi kumpulan Spring, Ameng akhirnya mengubati rindu peminatnya dengan buah tangan raya terbaharu berjudul Aidilfitri Yang Ku Rindu.

Lebih menarik lagi, melodi lagu ini juga digarap oleh peminat setia Ameng, Rash yang sentiasa mengikuti perkembangan seninya sejak lebih tiga dekad dia terlibat dalam bidang seni.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri tak sangka Ameng (Spring) berjaya kuruskan badan, hilang 18 kg dalam tiga bulan - “Sejak PKP dia tekad jaga makan dan workout”

"Sebagai peminat fanatik kumpulan Spring, Rash sangat memahami cara nyanyian dan genre lagu yang saya hasilkan ketika bersama kumpulan itu.

"Untuk memastikan sentuhan ini memenuhi kriteria yang saya inginkan, saya turut memberikan idea dari segi komposisi melodi kerana saya mahukan keselesaan ketika rakaman.

Aidilfitri Yang Ku Rindu mendapat sentuhan lirik daripada Ameng Spring.

"Dengan pengalaman yang ada, saya dan Rash berkongsi idea serta mencari titik tengah kerana mahukan proses penghasilan lagu ini memberi kepuasan kepada kedua-dua pihak," katanya kepada mStar.

Ameng atau nama sebenar, Wan Aminuddin Wan Ismail berkata proses penghasilan lagu raya ini mengambil masa setahun kerana mahu memberikan yang terbaik buat peminat yang tidak jemu menyokong kerjayanya selama ini.

Sebagai peminat fanatik kumpulan Spring, Rash sangat memahami cara nyanyian dan genre lagu yang saya hasilkan ketika bersama kumpulan itu.

AMENG SPRING

PENYANYI

"Kerja penghasilan lagu ini mengambil masa hampir setahun kerana ia melalui beberapa proses penambahbaikan. Hanya selepas betul-betul berpuas hati, baharu saya mengambil keputusan untuk merakamkannya.

"Saya perlu akur dengan selera peminat tetapi pada masa sama cuba menghasilkan karya yang mengikut peredaran zaman tanpa membuang identiti muzik yang sinonim dengan saya selama ini.

"Memandangkan saya agak teliti dalam pemilihan lagu, saya tidak kisah mengambil sedikit masa untuk memastikan lagu ini memenuhi kriteria yang saya inginkan," ujarnya.

Ameng teruja sambut Syawal bersama isteri dan anak biarpun negara masih lagi terikat dengan pelaksanaan PKP.

Ameng yang popular dengan lagu Sampai Hati dan Butakah Cinta itu berharap Aidilfitri Yang Ku Rindu dapat diterima baik walaupun menyedari peminat muzik tempatan lebih menggemari lagu raya lama dan evergreen.

"Saya berharap pencinta industri muzik bersikap lebih terbuka dan terus memberikan sokongan terhadap karya terbaru saya, meskipun lagu raya nostalgia lebih mendapat tempat kerana sudah sebati di pendengaran ramai.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Lagu baharu akan tetap ada kerana sebagai pengkarya, kami perlu sentiasa mencuba dan menghasilkan karya untuk terus memajukan industri muzik.

"Secara peribadi, saya tidak terlalu mengharapkan penerimaan yang luar biasa, tetapi saya percaya sudah memberikan yang terbaik seperti yang dimahukan peminat," katanya.

Aidilfitri Yang Ku Rindu yang diterbitkan Sony Music kini sudah boleh didapati di semua platform penstriman muzik digital.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain