suria

[VIDEO] Sehari selepas Fizo Omar bersuara air Kelantan kotor, AKSB datang tengok kawasan - “Kita bayar bil, rakyat ada hak bersuara”

Fizo berkongsi video memperlihatkan keadaan air di kampung halamannya yang sangat kotor.

ISU air kotor di Kelantan yang tiada penyelesaian sejak sekian lama mengundang rasa kurang senang pelakon Fizo Omar yang kini berada di kampung halamannya.

Merasai sendiri masalah itu, Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar berkata dia berhak untuk bersuara kerana air merupakan keperluan asas yang perlu diselesaikan segera oleh kerajaan negeri.

ARTIKEL BERKAITAN: Fizo Omar kongsi gelagat penerima vaksin, gembira dapat lancarkan kerja frontliner - “Saya nak hentikan tanggapan ambil vaksin ada kesan negatif”

Malah, pelakon berusia 36 tahun ini juga menggesa pihak berkaitan khususnya kerajaan negeri Kelantan mengambil langkah proaktif bagi menyelesaikan masalah bekalan air tercemar itu.



"Bukan masalah baharu... tapi dah bertahun-tahun. Kalau tak silap saya, sudah berpuluh tahun isu masalah air di Kelantan tidak selesai... ia macam dah melampau.

"Saya jarang balik kampung, tapi setiap kali balik mesti ada isu air. Bayangkan orang yang memang duduk di Kelantan, macam mana nasib mereka dengan keadaan air yang sangat teruk.

"Walaupun pakai penapis air pun masih lagi teruk. Pada saya, sebagai rakyat kita ada hak untuk bersuara sebab kita bayar bil. Sepatutnya pihak kerajaan kena sediakan kualiti air bersih.

"Kalau isu ini terjadi sekali dua, tak apa... tapi dah berpuluh tahun tidak ada tindakan sewajarnya untuk selesaikan masalah. Kita harus mendapatkan bekalan air bersih daripada kerajaan," katanya kepada mStar.

Saya mewakili rakyat Kelantan supaya isu ini diambil serius.

FIZO OMAR

PELAKON

Sebelum ini, pelakon drama Rindu Awak Separuh Nyawa berkenaan memuat naik video memperlihatkan keadaan air paip yang sangat kotor di kampung halamannya di Pasir Puteh, Kelantan.

Menerusi perkongsian tersebut, Fizo melahirkan rasa kecewa apabila masalah kualiti air di Kelantan masih tidak berkesudahan.

Namun sehari selepas perkongsian tersebut, Fizo memberitahu pihak Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) datang ke kawasan perumahannya untuk menyelesaikan masalah air tersebut.

fizo 1

Fizo memberitahu pihak AKSB sudah datang ke rumahnya untuk menyelesaikan masalah air kotor.

"Alhamdulillah... apabila saya buat video yang sekadar untuk menyampaikan mesej kepada pihak berkaitan, keesokan harinya pihak AKSB datang untuk betulkan.

"Tapi saya pun tak pasti keadaan air macam mana sebab saya tak balik ke rumah selama dua hari dah. Saya tengah jalani penggambaran. Mereka datang pun dah cukup bagus dan harap isu itu boleh diselesaikan.

"Bukan sahaja di kawasan perumahan saya tapi harapnya di seluruh negeri Kelantan. Saya mewakili rakyat Kelantan harap supaya isu ini diambil serius dan tindakan sewajarnya dibuat secepat mungkin," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain