suria

Alif Satar sebak nyanyi semula lagu Raihan, teringat zaman kanak-kanak... Syukur dapat kumpul saham akhirat

Sejak kecil Alif sudah biasa mendengar lagu Raihan dan tidak ada masalah untuk menyanyikan semula

MENYANYIKAN semula lagu-lagu popular kumpulan nasyid Raihan membuatkan Alif Satar merasa sebak sehingga tidak dapat menahan air mata.

Bukan hanya kerana lirik yang menyentuh jiwa, malah kata Alif, 32, juga terkenangkan waktu kecil di mana ibu bapanya sering memainkan lagu-lagu Raihan ketika tinggal di luar negara.

ARTIKEL BERKAITAN: The Locos seronok bekerja dengan Alif Satar, dapat semangat buat persembahan satu kumpulan

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli nasyid juga manusia biasa, Raihan minta jangan cepat hukum Yasin Sulaiman

"Lagu-lagu Raihan membuatkan saya sentiasa terkenang zaman kanak-kanak dahulu. Ketika saya ikut ibu bapa untuk tinggal di luar negara hanya dua CD lagu yang dibawa dan salah satunya adalah album Raihan.

"Lagu-lagu mereka ada aura tersendiri dan alunan muzik yang boleh menyentuh jiwa pendengar.

"Saya rasa sangat sebak ketika merakamkan semula lagu mereka sehingga minta produksi untuk berhenti seketika kerana tidak boleh menahan emosi," ceritanya.

Sejak kecil Alif sudah biasa mendengar lagu Raihan dan tidak ada masalah untuk menyanyikan semula

Alif menganggap Raihan sebagai ikon dalam industri muzik nasyid

Dalam masa sama, Alif juga akui merasa gementar setiap kali membuat persembahan bersama Raihan selain Datuk Seri Siti Nurhaliza.

"Saya dah biasa membuat persembahan dengan rakan artis lain namun hanya dua penyanyi sahaja yang akan buat saya rasa gementar iaitu Siti Nurhaliza dan Raihan.

“Raihan muncul dalam industri seni dahulu dengan aura yang berbeza dan mereka telah menjadi ikon nasyid di Malaysia.

Saya rasa sangat sebak ketika merakamkan semula lagu mereka sehingga minta produksi untuk berhenti seketika kerana tidak boleh menahan emosi

ALIF SATAR

PENYANYI

"Saya gembira dapat bekerjasama dengan mereka. Sekurang-kurangnya ada sedikit saham akhirat apabila peminat menonton rakaman semula lagu-lagu ini di masa akan datang," ujarnya.

Alif bersama kumpulan The Locos merakamkan semula lima lagu bersama Raihan dan kesemua lagu ini dijadikan satu koleksi istimewa yang diberi judul The Sunnah The Better.

Ini merupalan kolaborasi ketiga bersama selepas lagu Sesungguhnya pada tahun 2019 dan Damba Cinta Mu (2020).

Ketiga-tiga rakaman semula ini dilancarkan sempena menyambut kehadiran bulan Ramadan.

alif satar 3

Alif bersama kumpulannya The Locos

"Bagaikan sudah jadi rutin pula saya berkolaborasi dengan Raihan apabila menyambut Ramadan sehingga ada peminat dan stesen radio yang sudah bertanya awal tentang kerjasama kami tahun ini.

"Saya harapkan dengan pelancaran lagu nyanyian semula ini sedikit sebanyak dapat menyentuh hati para pendengar," jelasnya.

Sebanyak lima buah lagu dirakamkan semula kali ini iaitu Bismillah, 25 Rasul, Pujian-Pujian & Syukur (medley), Assolatuwassalam dan Dambaan Rindu.

Kesemua video muzik lagu ini boleh ditonton secara berperingkat di saluran Youtube Alif Satar bermula 3 April.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain