suria

Aliff Iskandar berhati-hati sambut raya, takut terkena jangkitan Covid-19 kali kedua

Aliff takut tak dapat beraya jika sekali lagi dijangkiti Covid-19.

PENGALAMAN tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun lalu akibat terkena jangkitan Covid-19 membuatkan penyanyi Aliff Iskandar lebih berhati-hati agar perkara sama tidak berulang.

Kata Aliff, 21, dia tidak mahu keterujaan mahu meraikan bersama keluarga tahun ini terbatas jika mana-mana individu terdekat atau dirinya sendiri kembali dijangkiti virus tersebut.

“Tahun lalu beberapa hari sebelum raya saya positif Covid-19 dan tidak dapat beraya. Memang rasa sedih ketika itu dan ia menjadi satu pengalaman buat saya sambut raya sendiri dalam tempoh kuarantin.

ARTIKEL BERKAITAN: Buat lagu ikut trend pasaran, Aliff Iskandar terpaksa lupakan dulu citarasa sendiri

ARTIKEL BERKAITAN: Belum setahun jadi artis, Aliff Iskandar terkejut nama tercalon Top 5 ABPBH... macam tak percaya bersaing dengan Meerqeen

“Jadi tahun ini saya lebih berhati-hati agar tidak dijangkiti. Walau kita sudah masuk fasa endamik, namun perlu sentiasa berwaspada.

“Kalau boleh tak mahu kemeriahan raya bertukar menjadi cerita sedih apabila ada ahli keluarga yang terpaksa kena kuarantin,” katanya kepada mStar.

Bercakap tentang persiapan raya, penyanyi lagu Takdir ini bersyukur kerana dikurniakan rezeki yang baik dan dapat membantu keluarga untuk berbelanja.

Sebagai seorang anak, inilah nikmat yang paling indah apabila dapat membuatkan ibu bapa gembira.

ALIFF ISKANDAR

PENYANYI

Aliff juga sudah membeli hadiah istimewa buat semua ahli keluarga sebagai penghargaan buat mereka yang sentiasa memberi sokongan kepadanya dalam kerjaya seni.

“Untuk persiapan raya saya lebih utamakan kedua ibu bapa. Syukur rezeki semakin baik dan saya dapat membantu mereka. Sebagai seorang anak, inilah nikmat yang paling indah apabila dapat membuatkan ibu bapa gembira.

“Saya juga belikan hadiah untuk adik-beradik yang lain. Mereka banyak memberi sokongan kepada saya selama ini dan tidak salah untuk beri tanda penghargaan,” ujarnya.

aliff raya 2

Aliff tampil berlakon dalam sebuah program raya di saluran RTM.

Sementara itu, berkongsi tentang kerjaya, Aliff melihat perjalanan sebagai seorang anak seni bertambah baik dan dia mahu memanfaatkan peluang yang ada ini untuk menghasilkan lebih banyak karya baharu.

Dalam masa sama, Aliff yang diberi peluang untuk berlakon dalam sebuah program raya meluahkan rasa teruja dan dia juga terbuka untuk mencuba bidang baharu.

“Walaupun ada masa penat bekerja, saya tidak mahu mengeluh kerana apabila nama semakin dikenali inilah peluang untuk saya tampilkan lebih banyak karya baharu.

“Saya terbuka untuk mencuba bidang baharu seperti berlakon. Walau rasa gementar di hadapan kamera saya tidak ada masalah untuk belajar lebih mendalam lagi,” jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain