MENEPATI ramalan penyanyi Khai Bahar merangkul kemenangan kategori utama Top Top Meletop (Lelaki) dalam Anugerah Meletop Era 2021 (AME2021) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada malam Ahad.
Selain membawa pulang trofi kategori utama, Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 28, turut memenangi Anugerah Penyanyi Meletop.
"Syukur ini adalah atas sokongan peminat. Mereka yang banyak mengundi saya untuk menang anugerah ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nordiana dan Haqiem Rusli paling MeleTOP AME 2020
"Rasanya ada artis lain yang lebih layak untuk menang. Tetapi ini rezeki untuk saya kerana diberi kepercayaan oleh peminat," katanya.
Ini merupakan kali ketiga Khai memenangi anugerah utama tersebut.
Sebelum ini Khai merangkul anugerah itu pada tahun 2018 dan 2019. Manakala edisi 2020 menjadi milik penyanyi Haqiem Rusli.
AME2021 turut memberi makna besar buat Shiha Zikir setelah merangkul anugerah Top Top Meletop (Wanita) selain tiga anugerah lain iaitu Bintang Filem, Artis Versatil dan Group/Duo Meletop.
Shiha dan Noki menang Lagu Meletop.
"Ini adalah bukti kesungguham saya selama berada dalam industri seni.
"Apa yang saya buat selama ini bukan sebab nak menang anugerah atau nak popular. Ini adalah jiwa saya," ujarnya.
Sementara itu, bagi Top Top Meletop Group/Duo dimenangi oleh kumpulan Dolla.
Fasha Sandha (kiri) dan Dini Schatzmann.
AME2021 turut memberi Anugerah Legend Muzik Meletop kepada komposer terkenal Roslan Aziz manakala Anugerah Sepanjang Zaman diberikan kepada pelakon Hamid Gurkha.
Anugerah Khas Meletop pula diberikan kepada Datuk Aznil Haji Nawawi.
AME2021 dihoskan oleh Nabil Ahmad, Sherry Alhadad dan Jihan Muse.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan artis popular yang dimulakan dengan Yonnyboii, Zizi Kirana, Bunga, De Fam, MK K-Clique, Han Byul dan Datuk Norman dari kumpulan KRU.
Artis lain yang turut membuat persembahan adalah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Search, Hael Husaini, Dolla, Wany Hasrita, Siti Nordiana, Amir Masdi, Afieq Shazwan, Ucop dan Tajul.
Berikut adalah senarai pemenang AME2021:
Lagu Meletop Era - Aewo (Shiha Zikir & Noki)
Filem Meletop - Ada Apa Dengan Dosa
Bintang Filem Meletop - Shiha Zikir
Personaliti TV Meletop - Jihan Muse
BBNU Meletop - Alyssa Dezek
Penyanyi Meletop - Khai Bahar
Couple Meletop - Emma Maembong & Muhammad Shazli
Si Cilik Meletop - Arianna Aubrey & Karl Kareef
Pelakon Meletop - Fasha Sandha
Program Meletop - Konsert Minggu Ini #123 Khai Bahar
Group/Duo Meletop - Shiha Zikir & Noki
Artis Baharu Meletop - Dini Schatzmann
Artis Versatil Meletop - Shiha Zikir
Video Meletop - Canggung (Wany Hasrita)
Drama Meletop - Kampung Pisang Bersiri-Siri
Influencer Meletop - Dr Say
Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI