suria

Buat lagu syok sendiri, Naim Daniel lamar Dolla kolaborasi dalam ‘Mungkin Ini Adalah Lagu Yang Paling Sedih Pernah Aku Buat’

Naim mahu tampilkan sisi berbeza kumpulan Dolla.

BUAT pertama kali penyanyi Naim Daniel bakal muncul lagu duet bersama kumpulan Dolla menerusi lagu berjudul Mungkin Ini Adalah Lagu Yang Paling Sedih Pernah Aku Buat (MIALYPSPAB).

Lagu MIALYPSPAB dicipta sejak dua tahun lalu, Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin mengakui dia yang 'melamar' Dolla untuk berkolaborasi.

Menganggap lagu itu syok sendiri, penyanyi berusia 24 tahun itu berkata dia mahu menampilkan kelainan memandangkan kumpulan Dolla mempunyai potensi tinggi dalam dunia muzik tanah air.

Naim Daniel

Naim tidak mahu menyekat karyanya.

"Memang saya yang ajak Dolla untuk kolaborasi... lagu itu dicipta pun sejak dua tahun. Lagu balada sedih, jadi saya sengaja nak ada Dolla duet bersama.

"Sebab macam kita tahu, Dolla kalau bab menari sambil menyanyi itu memang dah tapau la. Sejujurnya, saya berani mati dan syok sendiri buat lagu ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lantang bersuara di media sosial! Naim Daniel bukan nak hentam sesiapa, anggap teguran netizen sebagai ingatan tuhan

ARTIKEL BERKAITAN: Air mata Dolla tumpah, sebak pertama kali jumpa peminat sejak jadi artis

Saya cuba nak jadikan industri ini lebih meriah dengan apa yang kita boleh buat.

NAIM DANIEL

PENYANYI

"Saya tak nak hadkan diri dalam berkarya. Mungkin peminat Dolla akan nampak kelainan daripada mereka. Bagi saya, Dolla mempunyai potensi yang tinggi dalam dunia muzik," katanya kepada mStar.

Penyanyi lagu Sumpah itu ditemui ketika majlis pelancaran Fiesta TV3 yang berlangsung di Sri Pentas Media Prima, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menurut Naim yang juga seorang pelakon, dia dan Dolla sudah pun merakam lagu tersebut pada Rabu.

Dalam pada itu, Naim memberitahu dia mahu melihat industri muzik dipenuhi dengan karya-karya segar daripada anak-anak muda terutama yang baharu saja menceburi bidang tersebut.

Dolla

Dolla dianggotai oleh Syasya, Tabby, Angel dan Sabronzo.

"Saya nak cuba pelbagaikan karya muzik. Saya nak semua orang tahu yang anak-anak muda terutama yang baru berjinak dalam industri ini ada sesuatu untuk diberikan dalam industri juga.

"Saya pun cuba nak jadikan industri ini lebih meriah dengan apa yang kita boleh buat. Dari situ kita cuba buat kolabarsi Dolla.

"Saya pun rasa tak rugi untuk cuba... sekurang-kurangnya kami sudah mencuba. Saya percaya macam mana pun, kita akan bosan. Jadi nak beri kelainan dan benda baharu," ujarnya.

Sekadar info, Dolla dianggotai empat anggota iaitu Syasya, Sabronzo, Tabby dan Angel.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain