suria

“Kenapa perlu malu?” - Tuah Adzmi kembali kerja kilang, kewangan terkesan akibat pandemik

Pengalaman waktu sukar buat Tuah lebih matang.

PENYANYI Tuah Adzmi kembali bekerja sebagai pembantu stor di sebuah kilang mencetak al Quran meskipun sebelum ini pernah memberitahu sudah meletakkan jawatan kerana mahu memberi fokus kepada kerjaya seni.

Tuah atau nama sebenarnya Arumi Nafis Mohd Adzmi, 24, berkata, pengalaman melalui waktu sukar sebelum ini membuatkan dia lebih memikirkan masa depan dan memiliki pendapatan tetap.

“Saya kembali bekerja di kilang tersebut tetapi hanya separuh masa sahaja. Jadi saya boleh ambil cuti pada bila-bila masa jika menerima undangan menyanyi.

tuah 3

Tuah terus bekerja di kilang sebagai salah satu sumber pendapatan.

“Pengalaman waktu sukar sebelum ini ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuatkan saya lebih berhati-hati. Kita tidak tahu sekiranya masalah kewangan akan terjadi lagi di masa akan datang.

“Apabila memiliki kerja begini, saya jadi lebih yakin dari sudut kewangan,” katanya kepada mStar.

Tuah yang merupakan bekas peserta Big Stage 2022, ditemui ketika majlis santai bersama artis-artis FMC yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tuah Adzmi nekad berhenti kerja kilang, mahu fokus kerjaya seni

ARTIKEL BERKAITAN: Terdesak duit simpanan habis, Tuah Adzmi jual kereta Mini Cooper buat modal berniaga... Tak sangka bisnes pun tak laku!

Tidak meletakkan status sebagai selebriti sebagai penghalang untuk dia bekerja di sebuah kilang, keutamaan Tuah ketika ini adalah untuk mencari pendapatan stabil agar dapat menampung perbelanjaan seharian.

Sebagai anak tunggal, Tuah juga sudah terbiasa bekerja keras mencari rezeki sendiri selepas kematian arwah bapanya ketika dia berusia enam tahun.

“Kenapa perlu malu? Saya buat kerja halal. Malah saya bangga kerana ada pendapatan yang boleh menampung kehidupan.

Kita tidak tahu sekiranya masalah kewangan akan terjadi lagi di masa akan datang

TUAH ADZMI

PENYANYI

“Bagi saya status seorang artis itu tidak penting. Apa yang menjadi keutamaan ialah saya dapat membantu ibu. Kerja ini juga merupakan satu peluang untuk saya meneruskan hidup.

“Syukur kehidupan sekarang ini semakin stabil. Saya juga ada buat perniagaan sendiri, kita perlu bijak dalam mencari peluang dan pendapatan,” ujarnya.

Sementara itu bercakap tentang perkembangan kerjaya, Tuah baru sahaja melancarkan lagu baharu berjudul Dusta Cinta yang sudah mula dipasarkan di semua aplikasi penstriman sejak sebulan lalu.

tuah 1

Ikut trend semas tampil lagu baharu dengan elemen lama.

Melihat trend muzik semasa, Tuah mengambil langkah berani untuk tampil dengan sebuah lagu yang menonjolkan elemen muzik seperti era 1990-an.

“Biasanya penyanyi lain akan cover lagu-lagu lama, tetapi saya tampil lagu baharu dengan elemen slow rock era 1990-an. Saya rakamkan lagu baharu dengan nafas muzik lama.

“Saya membesar dengan lagu-lagu yang popular zaman itu dan semoga karya kali ini dapat diterima baik pendengar,” jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain