PERKONGSIAN pengacara terkenal Datuk AC Mizal mengenai kesempitan hidup yang pernah dialami sekitar 20 tahun lalu ketika menanti kelahiran anak pertama bersama isteri, Datin Emylia Rosnaida menjadi bahan jenaka dalam kalangan netizen di media sosial. Menerusi temu bual program #MHThrowback terbitan portal Media Hiburan, AC Mizal mendedahkan dia pernah terpaksa makan tisu bersama kuah roti canai untuk mengisi perut dan ia merupakan fasa sukar dalam hidupnya. "Saya pernah cerita saya makan tisu bersama kuah roti canai orang. Isteri tidak tahu, bola waktu pagi rakan ajak pergi sarapan saya cakap tak apa, saya dah makan. "Ini kisah benar. Kalau orang nak cerita fasal kesusahan dengan saya, tak payahlah. Saya sudah lalui macam-macam," katanya dalam temu bual yang dikendalikan Radin Era tersebut. Tangkap layar video temu bual AC Mizal bersama Radin Era. Tidak hanya dianggap lucu, segelintir warganet menyifatkan kenyataan AC Mizal itu sebagai perkara tidak masuk akal. Rata-rata sukar mempercayai perkongsian itu kerana menganggap ia mustahil dan tidak mungkin dilakukan oleh seorang individu seperti pengacara berkenaan. ARTIKEL BERKAITAN: Viral penari wajah mirip AC Mizal, penganjur dikecam anjur majlis maksiat ARTIKEL BERKAITAN: Hubungan AC Mizal Dengan Anak Semakin Pulih Pun begitu, ada juga menyifatkan tisu yang dimaksudkan oleh AC Mizal adalah roti tisu yang pada ketika itu harganya masih mampu milik. Antara perkongsian netizen di Facebook. "Kalau susah, tidak masuk kedai mamak. Kalau pergi sana semata-mata untuk makan tisu. Mungkin ayat itu tergantung dan nak tulis roti tisu. "Rasanya roti tisu. Dia melawak, bersangka baik sahaja. Kami miskin sangat pun dulu tak pernah makan tisu, paling-paling pun makan ubi," tulis salah seorang netizen di Facebook. Dalam pada itu, terdapat juga netizen yang berseloroh bahawa menu tisu bersama kuah roti canai akan menjadi fenomena dengan perkongsian AC Mizal tersebut apatah lagi keadaan ekonomi negara ketika ini kurang baik. Sebilangan komen warganet yang menjadikan pengalaman makan tisu bersama kuah kari sebagai satu jenaka. "Persatuan restoran mamak sedunia telah bersepakat menambah satu lagi menu iaitu roti tisu. Menu tersebut laku keras. "Kuah pun boleh pilih, susu atau keju meleleh, kari kambing... ikut selera masing-masing," tulis netizen. Tembu bual yang dibuat pada April tahun lalu itu tular di media sosial selepas portal berkenaan berkongsi semula artikel dan video berkenaan di Facebook pada Sabtu lalu. Dalam video berkenaan, AC Mizal turut berkongsi tentang perjalanan kariernya sebagai penyanyi rap bersama kumpulan 4U2C selain pengelibatannya dalam bidang lakonan. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI