suria

Masih dalam fasa berjaga-jaga, Jasmin Hamid jalani rawatan jantung Februari tahun depan

Tahap kesihatan Jasmin Hamid semakin baik selepas terkena serangan jantung pada Jun lalu.

TAHAP kesihatan pelakon Jasmin Hamid semakin pulih selepas mengalami serangan jantung pada Jun lalu malah sudah kembali aktif menerima tawaran berlakon.

Jasmin atau Jasmin Abdul Hamid, 48, bagaimanapun berkata, meskipun semakin sihat dia masih dalam fasa berjaga-jaga bagi memastikan serangan sama tidak berulang buat kali kedua.

"Selepas mendapat tahu saya terkena serangan jantung, ada melahirkan rasa bimbang sekiranya saya tidak dapat bekerja seperti sebelum ini.

"Alhamdulillah sekarang kesihatan saya berada dalam keadaan baik dan boleh bekerja seperti biasa.

Untitled design (5)

Jasmin perlu menjaga pemakanan dan mendapatkan rehat yang cukup bagi memastikan perkara sama tidak berulang lagi.

"Cumanya saya sendiri perlu tahu batasan dan lebih peka menjaga kesihatan selain tidak boleh terlalu aktif seperti mana sebelum ini," katanya kepada mStar.

Jasmin berkongsi mengenai perkembangan terbaharu dirinya ketika muncul dalam sidang media drama lakonan terbaharunya berjudul Anak Beranak Abe Yie.

ARTIKEL BERKAITAN: Dagu dan lengan jadi kebas, Jasmin Hamid mengadu sakit pukul 3 pagi... Suami nafi ada kaitan Covid-19

Dalam pada itu, Jasmin memberitahu dia bakal menjalani rawatan susulan pada Februari tahun hadapan bagi memastikan keadaan kesihatannya pada tahap baik.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Jasmin kini cukup peka tentang pengambilan makanan sihat selain tidak memaksa diri melakukan sesuatu sekiranya badan terasa penat.

"Insya Allah diharapkan selepas menjalani rawatan tahun hadapan, kesihatan saya akan semakin baik. Mohon doakan," ujarnya.

Untitled design (6)

Jasmin bergandingan dengan Azlee Senario dalam drama Anak Beranak Abe Yie yang mula bersiaran di TV3 setiap Isnin hingga Khamis pukul 6 petang.

Pada Jun lalu, Jasmin dikejarkan ke hospital ekoran serangan jantung dan ditempatkan di Unit Rawatan Koronari (CCU) di sebuah hospital di ibu negara.

Suami Jasmin, Nazmir Abdul Rahim menjelaskan punca serangan jantung itu disebabkan kadar kolesterol dalam badan aktres itu tinggi.

Sementara itu, bercakap mengenai drama Anak Beranak Abe Yie, Jasmin memberitahu naskhah itu bukan sahaja menghiburkan tetapi memberi banyak pengajaran dan gambaran sebenar masyarakat ketika berdepan pandemik Covid-19.

Insya-Allah diharapkan selepas menjalani rawatan pada tahun hadapan kesihatan saya akan semakin baik. Mohon doakan

JASMIN HAMID

PELAKON

"Ia memaparkan apa berlaku ketika pandemik dan kita boleh tonton bagaimana keluarga Abe Yie yang kecoh mengatasi rasa takut dan mengharungi cabaran ketika negara dilanda Covid-19," katanya.

Anak Beranak Abe Yie akan mula bersiaran pada 16 Ogos 2022 di TV3 setiap Isnin hingga Khamis pukul 6 petang.

Selain Jasmin, drama arahan Pali Yahya terbitan Zamriez Golden Pictures itu turut dibintangi oleh Azlee Senario, Aiman Tino, Wan Sharmila, Aidit Noh, Puteri Sarah dan Aidil Aziz.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain